Dr. Mohd. Khafidz Soroni
Disebut dalam kitab fiqah banyak perkara sunat yang dianjurkan untuk kita amalkan dalam meraikan hari raya. Bagaimanapun, penulis suka menarik perhatian pembaca terhadap beberapa perkara daripadanya, namun setelah diteliti tiada hadis sahih yang jelas diriwayatkan daripada Nabi SAW. Tujuannya bagi membuka minda kita, termasuk pihak yang sering menggunakan kaedah rekaan mereka seperti ‘semua yang tidak dilakukan Nabi SAW adalah bidaah sesat,’ atau ‘tiada guna beramal dengan hadis daif.’ Sedangkan aspek fiqah yang bersifat kontekstual adalah lebih luas dan tidak hanya terbatas pada hadis sahih secara tekstual.
Antara perkara sunat itu ialah pertama, menghidupkan malam hari raya dengan amal ibadah. Terdapat dua hadis daif yang menyebut keistimewaan menghidupkannya, iaitu daripada Abu Umamah RA daripada Nabi SAW sabdanya: “Sesiapa yang berqiam pada malam dua hari raya sambil mengharapkan keredaan Allah, maka hatinya tidak akan mati pada hari hati-hati manusia lain mati.” (Riwayat Ibn Majah dengan sanad daif). Satu lagi daripada ‘Ubadah bin al-Samit RA dengan lafaz: “Sesiapa yang menghidupkan malam Aidilfitri dan Aidiladha, maka hatinya tidak akan mati pada hari hati-hati manusia lain mati.” (Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir dengan sanad daif)
Menurut ramai pengkritik hadis seperti Imam al-Nawawi, al-Hafiz al-‘Iraqi dan al-Hafiz Ibn Hajar, dua sanad hadis ini adalah daif. Namun, jumhur ulama daripada Mazhab Hanafi, Mazhab Maliki dan Mazhab Syafii berpendapat, menghidupkan malam dua hari raya adalah sunat.
Kedua, mandi membersihkan tubuh badan sebelum menunaikan solat sunat hari raya. Tidak terdapat hadis Nabi SAW secara khusus mengenai perkara ini. Hanya terdapat riwayat daripada sebahagian sahabat RA, antaranya daripada ‘Ali RA ketika beliau ditanya oleh seorang lelaki mengenai hal mandi: “Aku perlu mandi setiap hari jika aku mahu?” Jawab beliau: “Tidak, mandi yang dinamakan mandi itu adalah pada hari Jumaat, hari ‘Arafah, Hari Raya Korban dan Hari Raya Aidilfitri.” (Riwayat as-Syafi’i dalam al-Umm)
Ketiga, memakai pakaian baharu agar kelihatan cantik dan kemas. Tiada hadis khusus sebenarnya yang menggalakkan demikian. Namun, ulama mengambil istinbat daripada hadis ‘Abdullah bin ‘Umar RA katanya: “Pernah ‘Umar RA mengambil satu jubah yang diperbuat daripada sutera yang dijual di pasar, kemudian beliau membawanya kepada Rasulullah SAW lalu berkata: “Wahai Rasulullah, belilah jubah ini supaya tuan dapat tampil cantik bagi menyambut hari raya dan para delegasi.” Namun, Rasulullah SAW bersabda kepadanya: “Sesungguhnya ini adalah pakaian orang yang tiada bahagian untuknya (di akhirat).” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dapat difahami daripada kata-kata ‘Umar RA, “supaya tuan dapat tampil cantik bagi menyambut hari raya dan para delegasi” bahawa berpakaian baharu dan berpenampilan cantik sempena munasabah tertentu merupakan budaya yang sudah masyhur dalam kalangan masyarakat ketika itu. Justeru, ia disyariatkan kerana Nabi SAW tidak membantah kata-kata ‘Umar RA itu, sebaliknya baginda hanya mengingkari jenis pakaian mewah yang dibawanya sahaja.
Keempat, memakai wangi-wangian. Juga tiada hadis khusus mengenai perkara ini. Namun, ada diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar RA bahawa beliau akan mandi dan memakai wangi-wangian pada hari Aidilfitri. (Riwayat al-Firyabi dalam Ahkam al-‘Idain). Kata Imam Malik: “Aku mendengar para ahli ilmu menggalakkan agar berpenampilan cantik dan berwangi-wangian pada setiap hari raya.”
Kelima, bertakbir bermula dari terbenamnya matahari malam hari raya dan berterusan sehingga keluarnya imam untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri. Tidak ada hadis sahih yang khusus menyebutkan tempoh ini. Namun terdapat dua hadis daif, satu daripadanya riwayat az-Zuhri secara mursal bahawa Rasulullah SAW akan keluar pada hari Aidilfitri seraya bertakbir sehingga baginda sampai ke tempat solat akan didirikan. Apabila baginda selesai bersolat, baginda menghentikan takbir tersebut. (Riwayat Ibnu Abi Syaibah dalam al-Musannaf)
Ulama turut mengambil istinbat daripada firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah (bertakbir) kerana mendapat petunjuk-Nya, dan mudah-mudahan kamu bersyukur.” (Surah al-Baqarah: 185)
Demikian bagaimana ulama fiqah memahami agama dengan mengambil kira segenap aspek yang dapat melengkapkan dan mencantikkan setiap amalan yang kita amalkan bagi meraih keredaan Allah SWT. Mereka memahami dengan jelas kedudukan setiap amalan tersebut sama ada berpandukan dalil khusus, dalil umum mahupun majmuk dalil. Mereka juga berpendapat, hadis daif masih dapat diamalkan dalam aspek fada’il amal.