Aidilfitri: Kemenangan dirai, syariat diutamakan

Prof Madya Dr Azlan Shaiful Baharum

 

Alhamdulillah, setelah hampir sebulan melaksanakan ibadah puasa dengan pelbagai aktiviti kerohanian, solat Tarawih, tadarus al-Quran, bersedekah dan ibadah yang lain, tibalah hari kemenangan umat Islam iaitu Aidilfitri atau dalam bahasa Arab disebut sebagai Eid-ul-Fitr. Perkataan ‘eid’ membawa maksud perayaan atau sambutan. Ia berasal daripada maksud kembali. Fitri pula membawa maksud fitrah atau asal semula jadi.
Oleh itu, dalam menyambut kedatangan hari raya ini dengan gembira dan sukacita, kita perlu mengambil berat dan prihatin tentang adab dan sunah menyambutnya supaya tidak melanggar batasan hukum syarak yang ditetapkan dalam Islam.

Tatacara ini diamalkan Rasulullah SAW dan sahabat baginda.

Secara umumnya Rasulullah SAW sentiasa mengenakan pakaian terbaik, tidak semestinya baharu, tetapi bersih dan paling baik. Baginda juga akan makan kurma dengan bilangan yang ganjil sebelum menunaikan solat raya. Baginda melewatkan solat hari raya untuk memberi peluang kepada sahabat yang belum membayar zakat fitrah untuk melaksanakannya terlebih dahulu.

Bertakbir membesarkan Allah

Perkara yang paling utama ketika menjelang hari raya Aidilfitri, ialah dengan bertakbir. Takbir maksudnya membesarkan Allah SWT sebagai tanda kesyukuran selesai berpuasa dan kemenangan melawan nafsu. Ketika Maghrib pada 1 Syawal (malam raya), kita disarankan untuk memperbanyak takbir hingga solat Aidilfitri akan dimulakan. Amalan menghidupkan malam raya dengan beribadat kepada Allah SWT seperti solat, berzikir, membaca al-Quran, bertasbih, bertahmid, beristighfar dan sebagainya perlu digalakkan. Ini bersesuaian dengan sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang menghidupkan dua malam raya ikhlas kerana Allah nescaya hatinya tidak mati pada hari yang mati segala hati manusia.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Ia juga sangat bertepatan dengan firman Allah SWT dalam Surat al- Baqarah, ayat 185: “…dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, supaya kamu bersyukur.”

Membayar zakat

Dalam Islam, zakat satu daripada Rukun Islam yang wajib dilaksanakan setiap orang Islam. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 43: “Dan dirikanlah solat dan keluarkanlah zakat.”. Kegunaan dan manfaat zakat meliputi orang yang memerlukan dalam kalangan asnaf yang ditetapkan dalam hukum syarak. Kewajipan membayar zakat ini dijelaskan oleh baginda Nabi Muhammad SAW dalam sabdanya: “Rasulullah SAW memerintahkan pengeluaran zakat fitrah bagi manusia pada Ramadan kepada manusia yang lain satu gantang tamar atau gandum (bersamaan dua setengah kilogram beras) ke atas orang yang merdeka atau ke atas hamba lelaki atau perempuan.” (Hadis Riwayat Muslim)

Membersihkan diri dan memakai wangian

Selain itu, Rasulullah SAW membersihkan diri terlebih dahulu sebelum menunaikan solat hari raya. Rasulullah akan mandi, memakai wangian, dan mengenakan pakaian terbaik. Hal ini sunah yang sangat digalakkan oleh baginda SAW. Ini bertepatan dengan hadis: “Rasulullah SAW memerintahkan kita untuk mengenakan pakaian yang terbaik daripada apa yang kita ada dan memakai wangian serta mengorbankan perkara yang paling berharga yang ditemukan.” (Hadis Riwayat al-Hakim)

Akan tetapi pakaian yang dipilih hendaklah menepati garis panduan syarak. Janganlah pentingkan sedondon, tetapi pakaiannya ketat, nipis dan menampakkah bentuk tubuh serta mencolok mata khususnya wanita. Perkara ini perlu diambil perhatian terutama ibu bapa dan anak.

Makan sebelum menunaikan

solat hari raya

Antara sunah baginda SAW ialah makan sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri. Ini menunjukkan dengan jelas bahawa pada 1 Syawal kita tidak lagi berpuasa malah diharamkan untuk berpuasa pada hari itu bagi menyambut kemenangan besar umat Islam. Perkara ini jelas ditekankan dalam hadis daripada Anas bin Malik RA yang memberitahu bahawa: “Rasulullah SAW tidak keluar rumah pada pagi Aidilfitri melainkan selepas baginda SAW memakan beberapa biji kurma.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Melaksanakan solat

Aidilfitri

Selain itu, perkara yang paling utama pada waktu yang istimewa itu adalah dengan melaksanakan solat sunat hari raya. Kebiasaannya solat Aidilfitri dilakukan secara berjamaah di kawasan lapang atau masjid. Sama ada jemaah lelaki atau wanita yang suci atau sedang haid digalakkan untuk keluar serta meraikannya.

Sabda Rasulullah SAW: Diriwayatkan daripada Hafsah RA daripada Ummu Athiyyah berkata, “Pada Aidilfitri kami diperintahkan untuk keluar sehingga kami mengajak anak gadis dan juga wanita yang sedang haid. Mereka duduk di belakang barisan lelaki dan bertakbir mengikuti takbir lelaki, berdoa mengikuti doa lelaki dengan mengharapkan barakah dan kesucian hari raya itu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Disunatkan untuk seseorang itu ke masjid dengan berjalan kaki dan balik semula melalui jalan yang lain. Hal ini berdasarkan hadis: “Daripada Jabir RA, katanya: ‘Nabi SAW melalui jalan yang berlainan ketika pergi dan balik pada hari raya.'” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Mengucapkan selamat

hari raya

Ucapan selamat hari raya dan tahniah sudah tentu menjadi satu suasana yang tidak dilupakan oleh setiap orang Islam. Oleh itu Nabi SAW menggalakkan kita saling mengucapkan tahniah dan doa antara satu sama lain. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari: “Aku bertemu Rasulullah SAW pada pagi hari raya seraya mengucapkan kepada baginda: Taqabalallahu minna wa minkum (semoga Allah menerima daripada kami dan daripada kamu), lalu baginda menjawab: Ya, taqabalallahu minna wa minkum (semoga Allah menerima daripada kami dan daripada kamu).”

Amalan ziarah eratkan silaturahim, ukhuwah

Setelah selesai menunaikan solat, Rasulullah SAW mengunjungi tempat keramaian dan menziarahi rumah sahabat. Tradisi memperkukuhkan persaudaraan ini telah wujud sejak zaman Rasulullah SAW. Rasulullah bersabda: “Sesiapa yang ingin dilapangkan rezekinya atau meninggalkan nama sebagai orang yang baik setelah kematiannya, hendaklah dia menyambung silaturahim. (Hadis Riwayat al-Bukhari) Apabila sambutan Aidilfitri menjelma, Rasulullah SAW mengunjungi rumah sahabatnya. Begitu pun sebaliknya. Pada kesempatan yang ada ini, Rasulullah SAW dan sahabatnya saling mendoakan kebaikan satu sama lain. Allah SWT berfirman: “Orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Oleh itu, damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua-dua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah supaya kamu memperoleh rahmat.” (Surah al-Hujurat ayat 10)

Bagaimanapun, perlu kita ingat dan berwaspada, dalam semangat berziarah, jangan pula ada yang terlajak bersalam-salaman dengan bukan mahram. Disebabkan terlalu teruja dan gembira hinggakan terlupa mana yang halal dan mana pula yang haram. Diharapkan kaedah bergaul dalam Islam seperti tidak berjabat tangan dengan bukan mahram termasuk sepupu, ipar-duai, isteri bapa saudara atau suami ibu saudara dan seumpamanya perlu dielakkan. Walaupun kesedaran terhadap isu ini semakin tinggi, perlu selalu diingatkan. Ini penting agar pahala yang dikumpul sebesar Gunung Uhud itu tidak terlerai menjadi debu berterbangan yang tiada nilai ertinya. Firman Allah SWT dalam Surah an-Nisa ayat 1: “Dan peliharalah hubungan silaturahim (dengan benar). Sesungguhnya Allah sentiasa menjaga dan mengawasi kamu.”

Selamat menyambut Aidilfitri, maaf zahir dan batin buat semua pembaca ruangan Addin. Moga Allah memberkati semua.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *