Aidilfitri kemenangan hasil berjuang melawan nafsu

Ustaz Hafiz Za’farani

Raya yang disambut adalah suatu kemenangan yang diraih oleh umat Islam di atas perjuangan mengalahkan hawa nafsu sepanjang bulan Ramadan. Bulan Ramadan adalah bulan yang mendidik kita sepanjang 24 jam. Bermula dengan bangun sahur yang melatih kita untuk bangun waktu malam bagi melaksanakan ibadah, puasa yang melatih diri kita meninggalkan kehendak hawa nafsu secara zahir atau batin, berbuka puasa yang melatih kita memberi, Tarawih yang melatih diri untuk rajin solat sunat, qiamulail yang melatih kita untuk seronok bermunajat kepada Allah dan iktikaf melatih kita untuk mengikat hati dengan masjid. Kesemua ini dilatih secara pakej dalam bulan Ramadan bagi golongan yang melalui bulan mulia ini dengan sepenuh ketaatan kepada Allah. Hadiah terbesar di bulan Ramadan ialah Lailatul Qadar yang merupakan malam pengampunan, dikabulkan hajat, dilepaskan daripada api neraka dan dilipatkan pahala seperti 1000 bulan.

Ummul Mukminin, Siti Aisyah radhiyallahu anha pernah bertanya kepada Rasulullah, sekiranya menemui Lailatul Qadar, maka doa apa yang perlu dibaca? Lalu Rasulullah menjawab dengan mudah iaitu berdoalah: “Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, yang suka mengampunkan, maka ampunilah aku.”

Rasulullah SAW mengajar kita amalan untuk malam sebaik 1000 bulan ialah doa pengampunan. Maka tidak hairan apabila dalam suatu hadis Nabi pernah mengaminkan doa malaikat Jibril yang mendoakan celaka bagi orang yang keluar daripada bulan Ramadan dalam keadaan tidak mendapat keampunan. Dapatlah kita fahami bahawa bulan Ramadan adalah bersekitar keampunan daripada Allah yang begitu besar.

Justeru, seseorang yang direzekikan bertemu dengan satu Syawal, maka dia dikurniakan untuk menyambut hari raya Aidilfitri yang bermaksud Hari Raya Fitrah. Suatu hari yang mana kita seolah-olah bayi yang lahir dalam keadaan fitrah yang suci daripada dosa dan bersih daripada sifat-sifat tercela. Hakikatnya, orang yang mencapai tahap ini dalam ketaatannya pada bulan Ramadan yang sebenarnya layak menyambut Aidilfitri kerana dia merayakan dirinya kembali kepada fitrah. Sewajarnya kita bermuhasabah, adakah dengan amalan kita di bulan Ramadan melayakkan kita menyambut Aidilfitri atau tidak supaya kita berusaha sehabis mungkin untuk menyambut hari yang mulia ini.

Seperti mana tanda haji mabrur ialah amalannya selepas balik adalah sama seperti amalannya di Tanah Suci. Maka demikian juga untuk kita mengetahui sama ada kita memanfaatkan sebaik mungkin keluasan rahmat bulan Ramadan atau tidak adalah dengan kita melihat amalan kita setelah Ramadan adakah sama atau berkurang. Para ulama sepakat bahawa amalan itu memberi kesan kepada keperibadian seseorang. Sebagai contoh, firman Allah: “Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perkara keji dan mungkar.” (al-Ankabut: 45). Kesan daripada orang yang rajin menjaga solatnya ialah dirinya akan terpelihara daripada perbuatan keji dan kemungkaran. Begitu juga amalan lain akan memberi kesan kepada seseorang. Disebabkan itu seseorang yang benar-benar menjalani bulan Ramadan dengan cara yang terbaik pasti akan memberi kesan pada dirinya setelah Ramadan. Persoalannya adakah kita mengalami perubahan itu setelah Ramadan atau tidak? Marilah kita bermuhasabah.

Pada bulan Syawal antara yang dituntut ke atas kita ialah menyambung silaturahim. Bertitik tolak daripada itu, para ulama menggalakkan amalan ziarah menziarahi pada hari raya bagi tujuan menyambung silaturahim dan beramah mesra. Demikian juga amalan memberi duit raya yang merupakan amalan yang dianjurkan dalam agama. Ada yang berpandangan bahawa amalan memberi duit raya diambil daripada budaya Cina yang memberi angpow pada Tahun Baharu Cina. Pandangan ini adalah tidak tepat kerana asas dalam Islam ialah sedekah diberikan kepada orang susah dan hadiah diberikan sebagai tanda berkasih sayang. Oleh itu, duit raya menjadi medium untuk bersedekah dan memberi hadiah pada hari raya yang dituntut untuk kita bersilaturahim. Amalan ini mempunyai nilai dalam agama dan pasti mendapat pahala kerana telah dipayungi dengan dalil umum tentang bersedekah dan memberi hadiah.

Antara amalan masyarakat Melayu pada hari raya ialah menziarahi kubur ahli keluarga yang telah meninggal dunia. Amalan ini dituduh bidaah sesat oleh sebahagian orang. Tunggu dulu, berhati-hatilah dalam menghukum. Adakah menziarahi kubur adalah perkara yang keji dalam agama? Ayuh kita merujuk kepada pandangan para ulama. Terdapat satu kitab fatwa terbesar di dunia yang dinamakan Mausuah al-Fiqhiah al-Khuwaitiyyah. Dalam kitab ini menghukumkan ziarah kubur pada hari raya adalah sunat. Manakala dalam kitab fatwa yang lain seperti al-Fatawa al-Hindiyyah menyebutkan masa terbaik bagi menziarahi kubur adalah termasuk hari raya. Fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti Jordan pada 2010 pula menyatakan tidak mengapa untuk menziarahi kubur pada hari raya.

Antara dalil yang menjadi hujah oleh sebahagian ulama ialah riwayat daripada Jabir bin Abdillah yang menyatakan bahawa Nabi salallahu alaihi wasallam apabila pergi beraya (untuk solat) maka Baginda akan pergi dan balik melalui jalan yang berbeza. (HR al-Bukhari). Justeru, Imam Badruddin al-Ainiy ketika mensyarahkan hadis ini dalam kitabnya Umdatul Qari dan Imam Ibnu Hajar al-Asqalaniy dalam kitabnya Fathul Bari menyebutkan antara hikmah nabi melalui jalan berbeza ialah untuk menziarahi kubur kaum kerabat Baginda pada kedua-dua jalan. Jelaslah bahawa menziarahi kubur pada hari raya tidak pernah dianggap bidaah sesat oleh para ulama muktabar melainkan ia adalah hukum yang tidak berpaksi kepada realiti.

Masyarakat tanah Melayu menziarahi kubur ahli keluarga pada hari raya adalah kerana pada hari itu mereka boleh pulang ke kampung yang mana bersemadi jasad ahli keluarga mereka tercinta. Mereka tidak menziarahi kubur dengan menganggap mempunyai kelebihan tertentu melainkan mereka berziarah kerana ia adalah masa yang bersesuaian dan ia amalan yang dibenarkan oleh para ulama.

Akhir kalam, marilah kita melalui Syawal kali ini dengan menjauhi kontroversi dan meningkatkan ilmu kita serta amal kita. Ikutilah amalan yang telah kita lalui sejak turun temurun kerana ia telah melalui tapisan para ulama nusantara terdahulu dan mereka tidak menganggapnya salah apatah lagi bidaah sesat. Semoga Syawal kali ini memberi makna yang baharu dalam hidup dan menjadi titik perubahan dalam diri kita.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *