Oleh Prof Dr Azizi Ayob
Bulan Syawal mengembalikan kita kepada ‘fitrah’ atau kebiasaan kehidupan pengambilan makanan dan juga amalan ibadah di luar Ramadan. Jadi, kesan ‘tarbiah’ di bulan Ramadan bukan hanya pada sudut roh akibat beribadah, fisiologi badan juga turut berubah sewaktu berpuasa.
Kembali kepada kebiasaan dalam keadaan yang tergesa-gesa tidaklah sesuai kepada sistem tubuh kita. Pastinya ada hikmah kenapa Islam sangat menggalakkan umatnya terus berpuasa sunat enam hari di bulan Syawal bermula Syawal kedua.
Abu Ayyub al-Ansari meriwayatkan daripada Rasulullah SAW: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan, kemudian diikutinya puasa enam hari Syawal samalah seperti dia berpuasa sepanjang tahun.” (Riwayat Imam Muslim, al-Tirmizi, al-Nasaie dan Ibn Majah)
Kesan puasa kepada berat badan
Menurut kajian sains, puasa Ramadan selama 30 hari boleh memberi kesan kepada berat badan dan beberapa parameter fisiologi darah termasuklah perubahan pada paras glukos, urea, kolesterol, trigliserides, LDL kolesterol, dan HDL kolesterol.
Bagaimanapun, tidak semua mereka yang berpuasa Ramadan boleh mendapat kesan baik pada penurunan parameter itu. Ada antara kita berat badannya bertambah sewaktu akhir bulan Ramadan disusuli dengan pengambilan makanan tanpa kawalan ketika berhari raya.
Ini memberi kesan agak buruk kepada sistem pencernaan badan yang telah ‘berehat’ pada siang hari selama sebulan dan terus didedahkan dengan pelbagai jenis makanan serta juadah sebaik sahaja tarikh hari raya diisytiharkan.
Ini juga bertepatan dengan beberapa kajian sains di mana ada kalangan individu tidak mendapat manfaat kesihatan selepas berpuasa. Tabiat pemakanan tidak terkawal berserta pelbagai menu hari raya, sedikit sebanyak mempengaruhi roh kita untuk terus konsisten melakukan ibadah seperti pada Ramadan. Itulah cabaran dan hikmahnya!
Kelebihan puasa sunat enam
Islam agama yang syumul mensunatkan enam hari berpuasa di bulan Syawal sebagai pelengkap kepada puasa sebulan Ramadan. Dengan puasa sunat itu dan dilakukan seawal yang mungkin memberi ruang masa yang cukup untuk sistem badan dan selnya kembali kepada ‘fitrah’.
Puasa ini boleh diamalkan secara berterusan atau diselangselikan. Ia memberi ruang masa untuk pelarasan progresif oleh sistem pencernaan secara semula jadi. Berpuasa enam Syawal juga memberi kebaikan detoksifikasi setelah kita mula mengambil makanan ketika berhari raya.
Oleh itu, ia harus diamalkan secepat mungkin. Kajian sains juga membuktikan dengan berpuasa secara berturut-turut dalam beberapa hari akan meningkatkan paras hormon tertentu dalam badan. Ini sangat baik kerana badan telah mula membuat pelarasan kepada perubahan puasa-raya-puasa.
Mereka yang berpuasa sunat enam Syawal akan berasa lebih mudah untuk mengekalkan momentum puasa dan berdepan tarikan luar untuk berhari raya dengan segala menu dan rumah terbuka. Semoga kita terus mendapat rahmat di bulan mulia ini sambil bermaafan sesama Muslim.