Ia adalah bagi melambangkan sesuatu yang membawa manusia kembali kepada keadaan asalnya iaitu bersih daripada dosa dan noda.

Ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Setiap anak dilahirkan di dalam fitrah (Islam), hingga lisannya menyatakannya (mengungkapkannya), jika lisannya telah mengungkapkannya, dia nyata menjadi orang bersyukur (Muslim) atau boleh juga menjadi orang yang kufur.” – Musnad Imam Ahmad

Dalam kegembiraan menyambut kehadiran Syawal, umat Islam perlu menghayati dan mengingati pertemuan dengan Ramadan yang telah berlalu. Ini kerana, tarbiah Ramadan bermatlamatkan ketakwaan itulah yang menjadi punca untuk kembali kepada fitrah serta dijauhkan daripada dosa dan maksiat.

Kesan positif inilah diharap dapat menjadi pengajaran ketika menjelang bulan-bulan berikutnya supaya jiwa kita sentiasa tenang dan berbahagia di sisi Allah SWT.

Apa yang jelas, Aidilfitri adalah titik permulaan bagi umat Islam untuk terus menjadi hamba Allah yang kekal beriman dan bertakwa. Justeru, semestinya kesucian fitrah ini perlu dipelihara dengan sebaiknya dan bukan hanya terhad pada Ramadan sahaja.

Persoalannya, adakah momentum ibadah itu masih terus subur dalam diri kita? Masihkah al-Quran ditatap, dibaca dan difahami isi kandungannya? Masihkah kita bersungguh-sungguh dan tidak jemu dalam melakukan pelbagai ibadah sunat dan kebajikan? Masihkah mulut kita basah dengan berzikir mengingati Allah SWT? Paling penting, masihkah ibadah yang difardukan dijaga dan tidak diabaikan.

Ingatlah, Allah SWT berfirman maksudnya: “Maka hadapkanlah dirimu ke arah agama yang jauh daripada kesesatan, fitrah Allah yang menciptakan manusia untuk menerimanya, tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu, itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (ar-Rum: 30)

BUKAN PENGAKHIRAN IBADAH

Kehadiran Syawal bukan bermaksud berakhirnya kemuncak untuk beramal dan mendekati Allah, sebaliknya sebagai permulaan untuk mengembalikan diri sebagai seorang hamba Allah yang sentiasa mendahulukan dan meletakkan Allah dalam setiap aspek kehidupan.

Apatah lagi setelah memohon keampunan dan taubat nasuha pada Ramadan yang lalu. Oleh itu, pelaksanaan taubat perlu diteruskan pada setiap saat, waktu dan di mana jua.

Umat Islam perlu berusaha untuk menjadikan diri kekal sebagai hamba Allah dengan sebenar-benarnya dan bukan hanya sekadar hamba Ramadan yang beribadah dan memohon keampunan semata-mata tetapi menjadi jauh daripada Allah selepas mengharunginya.

Perumpamaan seorang Mukmin ketika dilahirkan terbahagi kepada dua keadaan iaitu:

1- Ketika dihidupkan sebagai Islam yang diterima taubatnya di sisi Allah

2- Ketika dilahirkan oleh ibu yang membawanya ke dunia dalam keadaan fitrah

Kedua-dua keadaan ini seolah-olah memberi kelahiran baharu kepada seseorang Mukmin dan beroleh rahmat daripada Allah. Tuntasnya, kehidupan yang sebenar adalah di mana hati seseorang itu hanya menuju kepada Allah semata-mata tidak kepada yang lain.

Firman Allah maksudnya: “Dan adakah orang yang mati, kemudian Kami hidupkan dia semula, dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) menerangi untuk ia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia, sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap-gelita (kufur), tidak dapat keluar daripadanya? Demikianlah diperlihatkan pula pada pandangan orang kafir itu akan keelokkan apa mereka telah lakukan.” (al-An’am: 122).

PEDOMAN

Aidilfitri adalah lambang kemenangan umat Islam setelah berjaya mengharungi tarbiah Ramadan dalam mendidik keperibadian Muslim hakiki.

Tuntutan kembali kepada fitrah adalah amanah setiap individu Muslim demi mengharapkan reda dan rahmat Ilahi dalam segala aspek kehidupan.

Ibadah semestinya berteraskan kerana Allah dengan penuh keikhlasan dan tidak sekali-kali menyekutukan-Nya.

PEDOMAN

Aidilfitri adalah lambang kemenangan umat Islam setelah berjaya mengharungi tarbiah Ramadan dalam mendidik keperibadian Muslim hakiki.

Tuntutan kembali kepada fitrah adalah amanah setiap individu Muslim demi mengharapkan reda dan rahmat Ilahi dalam segala aspek kehidupan.

Ibadah semestinya berteraskan kerana Allah dengan penuh keikhlasan dan tidak sekali-kali menyekutukan-Nya.