Dr Mohd Khafidz Soroni

 

Hajar Aswad yang terletak di bahagian bucu timur Kaabah merupakan satu entiti yang unik dan istimewa. Bagi orang yang melakukan tawaf atau berkunjung ke Baitullah disunatkan untuk menciumnya menurut kesepakatan ulama. Jika tidak mampu, memadai beristilam dengan menyentuh atau melambaikan isyarat tangan kepadanya.

Terdapat dua athar sahih mengenai asal usul Hajar Aswad. Pertama, athar Anas bin Malik katanya: “Hajar Aswad itu adalah daripada batuan syurga” (Riwayat Ahmad dan lain-lain). Kedua, athar ‘Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As RA katanya: “Rukun (Hajar Aswad) dan Maqam (Ibrahim) merupakan dua permata daripada permata syurga. Allah telah menghapuskan cahaya kedua-duanya. Jikalau Dia tidak menghapuskan cahaya kedua-duanya, nescaya cahayanya akan menerangi jarak antara timur dan barat.” (Riwayat at-Tirmizi dan lain-lain)

Meskipun kedua-dua athar mauquf (kata-kata sahabat), namun ia mempunyai hukum marfu’ (sabdaan Nabi SAW) kerana tidak mungkin ia dituturkan berdasarkan akal mereka semata-mata. Maka, kemungkinan besar mereka mendengarnya daripada Nabi SAW sendiri. Terdapat dua hadis sabit mengenai kelebihan Hajar Aswad. Pertama, ia akan menjadi saksi bagi orang yang beristilam dengannya di hari Akhirat. Daripada Ibnu ‘Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Nescaya Allah akan membangkitkan Hajar Aswad pada Hari Kiamat kelak dalam keadaan memiliki dua mata untuknya melihat dan lidah untuknya berbicara. Ia akan memberikan persaksian terhadap orang yang pernah beristilam kepadanya dengan benar.” (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibn Majah, ad-Darimi dan Ibn Hibban. Kata at-Tirmizi: Hadis hasan)

Kedua, menyentuhnya dapat menghapuskan dosa. ‘Ubaid bin ‘Umair menceritakan: “Ibnu ‘Umar RA pernah bersesak-sesak pada dua rukun (rukun Hajar Aswad dan rukun Yamani). Aku bertanya: “Wahai Abu ‘Abdir Rahman, kenapa kamu bersesak-sesak pada dua rukun ini, padahal aku tidak melihat seorang pun sahabat Nabi SAW lain melakukannya?” Beliau menjawab: “Hal itu ku lakukan kerana aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Menyentuh kedua-duanya dapat menghapuskan dosa-dosa”. (Riwayat at-Tirmizi, katanya: Hadis hasan)

Beristilam dengan Hajar Aswad ini juga termasuk jenis tawassul. Namun begitu, Saidina ‘Umar RA telah menarik perhatian kita kepadanya dari aspek akidah yang betul. Kata beliau ketika mencium Hajar Aswad: “Sungguh aku mengetahui bahawa kamu hanyalah sebiji batu yang tidak dapat mendatangkan mudarat mahupun manfaat. Namun, kalaulah bukan kerana aku telah melihat Nabi SAW menciummu tentu aku tidak akan menciummu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Meskipun dari segi iktikad, Hajar Aswad tidak memberikan manfaat dan mudarat dengan sendirinya, namun beristilam dengan Hajar Aswad merupakan satu bentuk asbab yang membolehkan orang yang berbuat demikian memperolehi kelebihannya dengan izin Allah SWT.

Dalam sejarah Islam, Hajar Aswad pernah dirampas oleh Sulaiman al-Qirmiti, Raja Bahrain dan penganut fahaman Qaramitah tahun 317H, lalu dibawa ke Bahrain. Setelah 22 tahun, barulah Hajar Aswad dikembalikan semula ke Kaabah pada tahun 339H oleh Sanbar al-Qirmiti, seorang pemimpin mereka. Ketika dikembalikan Muhammad bin Nafi’ al-Khuza’i yang menyaksikan berkata: “Aku pernah perhatikan Hajar Aswad sewaktu ia dalam keadaan ditanggal, maka warna hitamnya cuma pada bahagian kepalanya sahaja, manakala baki keseluruhannya berwarna putih dan panjangnya pula dalam kadar sehasta.” Ini menepati riwayat daripada ‘Abdullah bin ‘Amr RA katanya: “Hajar Aswad itu lebih putih daripada susu dan panjangnya seperti tulang hasta lengan.” (Riwayat al-Azraqi dalam Akhbar Makkah)

Namun, Hajar Aswad kemudian telah melalui berbagai peristiwa pencerobohan hingga menyebabkan ia pecah. Di zaman Imam Ibnu ‘Allan al-Makki (wafat 1057H) beliau merekodkan bahawa bilangan pecahan Hajar Aswad ada tiga belas, empat besar dan bakinya bersaiz kecil. Namun, bilangannya kemudian berkurangan. Menurut Syeikh Muhammad Tahir al-Kurdi (wafat 1400H), Hajar Aswad yang kita istilam dan cium kini hanya tinggal lapan biji kecil sahaja dan yang paling besar pun sekadar besar sebiji tamar.

Situasi bersesak-sesak untuk mencium Hajar Aswad bukanlah isu baharu, bahkan hadis Ibnu ‘Umar RA di atas menunjukkan ia sudah berlaku sejak dahulu. Adapun yang dilarang ialah perbuatan menyakiti atau mencaci maki orang lain di tempat suci sebegitu. Diriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda kepada ‘Umar bin al-Khattab RA: “Wahai ‘Umar, kamu adalah seorang lelaki yang kuat, maka janganlah bersesak-sesak di Hajar Aswad, kerana kamu akan menyakiti orang yang lemah. Jika kamu mendapatkan ruang kosong, maka ciumlah ia. Jika tidak, maka menghadaplah ke arahnya sambil bertahlil dan bertakbir.” (Riwayat Ahmad dengan sanad daif)