Mohd Rizal Azman Rifin
Dunia serba moden yang bersifat globalisasi kini, semakin gawat dengan paparan kejadian gejala sosial yang kebanyakan pelaku utamanya terdiri dalam kalangan generasi muda. Saban hari, muka hadapan berita media tempatan seolah-olah tidak pernah ketinggalan melaporkan akan adanya keterlibatan golongan remaja dalam kancah maksiat dan jenayah. Fenomena sebegini sudah tentunya kita sebagai ibu bapa amat berasa risau dan cemas dengan keadaan anak-anak kita dan sentiasa memanjat doa agar mereka tidak terjerumus sama dalam gejala yang keji itu.
Ibu bapa yang menyedari dengan sesungguhnya akan peranan utama mereka dalam mendidik anak-anak pastinya telah dan sedang bertungkus-lumus mengorak pendekatan terbaik untuk membimbing dan mengasuh anak-anak dengan titipan nilai agama dan akhlak moral yang terpuji. Apabila menyentuh aspek pendidikan agama dan akhlak, maka perkara yang tidak boleh sama sekali kita kesampingkan begitu sahaja ialah mendidik anak-anak mempelajari, memahami dan seterusnya mengamalkan pengajaran al-Quran.
Pendidikan al-Quran mempunyai keutamaan tersendiri dan seharusnya kita jadikan agenda pertama untuk mendidik anak-anak. Tetapi seperkara yang wajib kita sedari semasa proses mendidik anak-anak agar jiwa mereka jinak dengan al-Quran ialah kita sendiri sebagai ibu bapa mesti terlebih dahulu memberikan contoh teladan kepada mereka. Anak-anak yang berada di dalam rumah yang kedua-dua ibu bapanya sentiasa menghidupkan budaya membaca al-Quran akan mudah bagi mereka untuk mengikutinya.
Ujar Syeikh Mustafa al-Himsi menerusi Kitabnya, Dalil Falihin Fi Hifz al-Quran al-Karim wa Tahfazihi menyatakan: “Dan tidak syak lagi, sesungguhnya qudwah (contoh teladan) memainkan peranan yang besar dalam membimbing anak-anak dalam membudayakan bacaan al-Quran. Mana mungkin kamu mahu anak kamu menghafaz surah-surah al-Quran, sedangkan kamu tidak membaca dan menghafaznya?”
Apabila kita mendidik anak-anak membudayakan amalan membaca al-Quran semenjak belum akil baligh lagi bermakna usaha kita itu tergolong dalam amalan yang mendatangkan ganjaran pahala kerana setiap bacaan anak-anak kita maka pahala bacaannya akan turut diberikan untuk kedua-dua ibu bapanya. Begitulah hebatnya pendidikan membaca al-Quran. Anas bin Malik melaporkan bahawa Rasulullah SAW pernah memberitahu: “Anak yang dilahirkan sehingga ia cukup umur (akil baligh), apabila ia melakukan amalan kebaikan, maka ditulis ganjaran pahala bagi bapanya atau kedua-dua ibu bapanya dan setiap amalan yang buruk, maka tidak akan ditulis dosa ke atasnya dan tidak ke atas kedua-dua ibubapanya.” (Hadis riwayat Abu Ya’la)
Anak-anak sememang mempunyai daya ingatan dan keupayaan hafazan yang kuat. Cuma kaedah dan kesungguhan kita sebagai ibu bapalah yang seharusnya menggerakkan potensi anak-anak dengan kecaknaan yang tinggi. Dalam hal ini ada baiknya kita perhalusi satu kisah yang dibawa oleh Syeikh Muhammad Hussain ar-Rantawi yang menceritakan bahawa terdapat seorang kanak-kanak Iran yang bernama Mahyar Hussain Bour yang berusia kurang sepuluh tahun, namun telah berjaya menghafaz keseluruhan al-Quran.
Yang uniknya, anak kecil ini dikatakan memiliki sedikit kecacatan untuk bercakap sejak lahir lagi dan keadaan tersebut berlanjutan sehinggalah dia mencecah usia lima tahun. Kemudian dia memulakan perjalanan hidupnya dengan usaha membaca dan menghafaz al-Quran. Berkat usaha gigihnya yang tidak melihat kepada kecacatan peribadinya, akhirnya dalam tempoh enam bulan sahaja dia sudah mampu menghafaz keseluruhan al-Quran, malah bentuk percakapan lisannya juga menjadi normal semula.
Justeru, kisah yang dibawa oleh Syeikh Muhammad Hussain ar Rantawi tadi wajar menjadi pedoman buat kita semua bahawa usaha yang bersungguh-sungguh pastinya akan dipermudahkan Allah untuk anak-anak kita membaca dan seterusnya menghafaz al-Quran. Seorang lagi ilmuwan Muslim terkemuka, Imam Ibnu al-Jauzi mengutarakan pandangannya: “Berhubung pengurusan ilmu, seseorang kanak-kanak yang umurnya mencecah usia lima tahun sudah mampu menceburi dan mempelajari al-Quran, fiqah dan mendengar hadis.”
Tambah beliau lagi, “Kanak-kanak ini menghasilkan perkara yang dihafaz lebih banyak daripada perkara yang didengarinya. Hal ini kerana tempoh masa hafazan berlanjutan sehingga umur 15 tahun. Apabila dia mencapai umur tersebut, maka keinginannya juga akan tercapah (banyak yang difikirkan dan ingin dicapai), maka kadang-kadang ia perlu dipaksa dan pada masa yang lain perlu dibelai untuk mereka terus beristiqamah dalam amalan membaca dan menghafaz al-Quran.” Demikian pendapat seorang ulama dan ilmuwan ulung Muslim yang memberikan garis panduan kepada kita perihal usia yang wajar untuk mendidik anak-anak dalam bacaan dan hafazan al-Quran.
Kita sebagai ibu bapa yang bertangggungjawab dan akan pastinya menjawab pertanyaan Allah di akhirat kelak berkenaan pendidikan kepada anak-anak, tidak akan sesekali mencuaikan fungsi utama untuk memberikan pendidikan agama yang terbaik buat anak-anak kita. Kita sudah tentunya mempunyai visi agar anak-anak membesar mencecah akil baligh dengan lidahnya fasih dalam bacaan al-Quran. Al-Hafiz Ibnu Ibnu Katsir menegaskan: “Terdapat dalil kepada keharusan bagi pembelajaran al-Quran pada usia kanak-kanak adalah sangat jelas, bahkan kadang-kadang ia menjadi sunat atau wajib. Disebabkan seorang kanak-kanak itu apabila ia mempelajari al-Quran, nescaya dia baligh dalam keadaan mengetahui apa yang dibaca di dalam solatnya. Hafazannya ketika kecil juga lebih utama daripada hafazan ketika dewasa. Ia lebih memantapkan lagi pemikirannya dan lebih kukuh serta teguh sebagaimana kebiasaan keadaan manusia.”
Kata Syeikh Muhammad Nur bin Abdul Hafiz Suwaid: “Peringkat kanak-kanak merupakan tempoh paling subur dalam proses pembinaan ilmu dan pengukuhan pemikiran.” Manakala pesan para Hukama pula: “Perumpamaan mereka yang mempelajari ilmu semasa kecil seperti mengukir di atas batu. Perumpamaan mereka yang mempelajari ilmu semasa tuanya seperti menulis di atas air.” Dan akhir sekali, mari kita sama-sama menghayati sebaris pesanan daripada tokoh popular, Abdullah Ibnu Abbas yang antara lain kata beliau: “Sesiapa yang membaca al-Quran sebelum ia baligh umurnya, maka akan dikurniakan kebijaksanaan pada usia kecilnya.”
Bersamalah kita mengkudratkan diri untuk mendidik dan menjadikan anak kita sentiasa hidup ‘bermesra’ dengan al-Quran. Meskipun, kita mungkin tidak berupaya melahirkan seorang anak yang hafiz, namun sekurang-kurangnya anak-anak kita tidak berasa asing dengan Kitab Allah.