Ayahanda kepada almarhum Tuan Guru Hj Atiqullah Pondok Pasir Tumboh
Tok Guru Haji Yaakub Keramat atau nama sebenarnya Haji Yaakub bin Awang adalah antara ulama yang hidup pada pertengahan kurun ke-20. Beliau dikenali dengan gelaran berkenaan dipercayai disebabkan pelbagai pengalaman luar biasa yang dikaitkan terhadap beliau selain doanya yang dikatakan mustajab.
Beliau dilahirkan di Kampung Teras Besar Mentuan, Kota Bharu sekitar 1900 dan meninggal dunia pada 4 Jun 1963 iaitu ketika berusia 63 tahun. Ketika berusia hampir 30 tahun, beliau berpindah dari kampung kelahirannya untuk membuka pusat pengajian pondok di Kangpung Gong Serai, Pasir Puteh dan terus menetap di situ. Kerana kemasyhurannya, Kampung Gong Serai pernah dikenali sebagai Kampung Tok Guru Haji Yaakub.
Haji Yaakub dilahirkan daripada keluarga sederhana di Kota Bharu. Ibunya ialah Mak Wan Nah yang keturunannya dikatakan berasal dari Terengganu manakala bapanya, Awang dan datuknya, Wan Bakar bin Abdul Latif dipercayai berasal dari Kampung Padang Bemban, Kota Bharu.
Ayah beliau yang dikenali sebagai “lebai” ialah seorang yang bercita-cita ingin melihat anak-anaknya berjaya seperti mereka. Hasrat dan doa beliau akhirnya dimakbulkan Allah S.W.T. apabila kesemua anaknya iaitu Haji Yusuf, Haji Mohamad, Haji Yaakub, Wan Ismail menjadi alim ulama yang disegani masyarakat.
Kehidupan Berumah Tangga
Haji Yaakub dikatakan memiliki tiga isteri iaitu isteri pertama, Wan Fatimah binti Wan Sulaiman, isteri kedua ialah Esah@Bidah binti Haji Salleh dan Fatimah binti Kundor.
Isteri pertamanya dikahwini ketika dia sedang belajar di Pondok Kenali. Wan Fatimah ialah bekas isteri abangnya, Haji Mohamad yang meninggal dunia di Makkah. Haji Yaakub dikatakan mengahwini bekas isteri abangnya itu bagi melaksanakan wasiat yang ditinggalkan oleh Haji Mohamad.
Usia Wan Fatimah lebih tua daripada Haji Yaakub dan sudah memiliki dua anak perempuan bersama bekas suaminya iaitu Selamah dan Mek ketika mula dikahwini. Perkahwinan Haji Yaakub dengan Wan Fatimah kemudiannya dianugerahkan empat anak iaitu Zaharah, Ahmad Tajuddin, Saadah dan Hasanah.
Semasa mengahwini Esah, Haji Yaakub berusia sekitar 40 tahun dan isteri keduanya itu berusia sekitar 14 tahun. Majlis akad dilangsungkan secara wakil berikutan Haji Yaakub ketika itu dikatakan masih berada di Makkah kerana menuntut ilmu. Esah kemudiannya menemui Haji Yaakub di Makkah dan mereka tinggal bersama anak tiri Esah iaitu Haji Ahmad Tajuddin di situ.
Haji Ahmad Tajuddin dibawa oleh Haji Yaakub untuk menuntut ilmu di Makkah ketika berusia sembilan tahun. Ketika di Makkah, rakan sebaya Haji Ahmad Tajuddin, Mohamad Ridzuan Haji Salleh turut menumpang bersama keluarga itu dan menganggap Haji Yaakub sebagai bapa angkatnya.
Perkongsian hidup antara Haji Yaakub dengan Esah dikurniakan enam cahaya mata iaitu Rahimah, Ubaidah, Atiqullah, Maziyah. Siti Alawiah, dan Mohd Naim.
Perkahwinan ketiga Haji Yaakub pula berlangsung selepas isteri pertama beliau meninggal dunia. Ketika mengahwini Fatimah binti Kundur, Haji Yaakub dikatakan berusia hampir 50 tahun manakala isteri ketiganya itu berusia sekitar 17 tahun. Fatimah berasal dari Kampung Gaal, Pasir Puteh. Pasangan berkenaan memiliki empat anak iaitu Ahmad Najmuddin, Jalillah, Bashara Hafi, dan Ahyauddin.
Pendidikan
Haji Yaakub dikatakan turut berguru dengan ramai tokoh agama tempatan, antaranya ialah Tok Kenali dan Tok Kemboja yang dikatakan menjadi bapa angkat beliau. Beliau juga pernah berguru dengan Haji Ali Pulau Pisang sepanjang beliau merantau ke Kedah dan Makkah pada 1935.
Tok Kenali ialah gurunya yang paling lama dan dipercayai selama lebih 10 tahun bahkan Haji Yaakub antara murid yang menjadi kesayangan Tok Kenali. Tidak seperti ulama lain, Haji Yaakub pergi ke Makkah pada usia yang agak lewat iaitu ketika usianya sekitar 40 tahun. Di sana, beliau sempat berguru dengan ramai tokoh ulama antaranya ialah Pak Da’ Ali Patani, Sayyid Alami, Datuk Shafie Kedah, Tok Sheikh Hanid, dan Haji Noh Guru Qiraat. Semasa menuntut daripadah Haji Noh, Haji Yaakub mendalami ilmu Qiraat sehingga dapat menguasai Qiraat Sab’ah.
Haji Yaakub kemudiannya kembali ke tanah air ketika usianya hampir mencecah 50 tahun. Ketika itu, perang dunia kedua baru meletus dan beliau kembali menaiki kapal laut yang dikawal ketat. Selepas kembali ke tanah air, Haji Yaakub tidak meneruskan pengajaran agama secara pondok, sebaliknya hanya mengajar kitab-kitab jawi seperti Musalli, Matlailbadrin, Faridah, dan lain-lain kepada penduduk tempatan di dua madrasah beliau.
Selain itu, beliau sering kali dijemput masyarakat setempat bagi memyampaikan pengajaran agama di surau dan madrasah sekitar Gong Serai, Permatang Sungkai, Permatang Rambai, dan Pasir Puteh.
Sumbangan
Haji Yaakub Berpindah ke Kampung Gong Serai pada 1927 ketika usianya hampir menjangkau 30 tahun. Ketika itu beliau baru memperoleh zuriat kedua daripada isteri pertamanya iaitu Haji Ahmad Tajuddin.
Perpindahannya ke kampung berkenaan adalah kerana meraikan permintaan penduduk kampung berkenaan yang inginkan seorang ulama bagi memberi pengajaran agama kepada mereka. Penduduk setempat juga menyediakan sebidang tanah sebagai tapak rumah dan surau.
Dengan terbinanya rumah dan surau berkenaan, maka bermulalah tugas Haji Yaakub menyampaikan pengajaran agama. Beliau menyampaikan ilmu dalam pelbagai bidang antaranya al-Quran, Tauhid, dan Fiqh. Surau beliau kemudiannya menjadi tumpuan orang ramai bahkan dikunjungi pihak luar yang ingin mendalami ilmu agama.
Pelajar dari luar kemudiannya membina pondok sekitar surau dan sekurang-kurangnya dipercayai terdapat 10 pondok. Selain itu, terdapat juga pelajar yang berulang-alik mengikuti kuliah Haji Yaakub. Antara pelajar Haji Yaakub dikatakan datang dari Terengganu dan Pahang.
Kegemilangan Pindok Kampung Gong Serai hanya dapat bertahan kira-kira 10 tahun apabila Haji Yaakub kemudiannya mengambil keputusan untuk ke Makkah bagi menunaikan fardu haji dan mendalami ilmu agama. Selepas pemergiannya, pengajian di pondok berkenaan diamanahkan kepada muridnya iaitu Haji Yakob Kecik Sungai Kelong.
Dua tahun kemudian, Haji Yakob Sungai Kelong berhijrah mengikut warisnya ke Thailand dan membuka pondok di sana. Berikutan itu, Pondok Kampung Gong Serai terbiar dan selepas Haji Yaakub pulang ke tanah air, beliau hanya mengajar di madrasah sahaja. Haji Yaakub menabur bakti kepada penduduk setempat selama lebih 20 tahun sebelum kembali ke rahmatullah pada 4 Jun 1963 pada usia kira-kira 63 tahun.
Peribadi dan Keramat
Penghijrahan Haji Yaakub ke Kampung Gong Serai banyak memberi manfaat kepada penduduk setempat. Selain pengajaran agama, Haji Yaakub menjadi tempat rujukan dan penyelesaian masalah kepada penduduk di kampung berkenaan.
Demikian itu kerana beliau diketahui umum sebagai individu yang memiliki keramat dan mampu melakukan pelbagai perkara luar biasa seperti menunjukkan barang penduduk yang hilang. Selain menyelesaikan pelbagai masalah, beliau tidak pernah menghampakan permintaan penduduk yang meminta pertolongan daripadanya.
Penduduk percaya kelebihan yang terdapat pada ulama itu satu kurniaan Allah S.W.T. berikutan Haji Yaakub seorang yang alim dan kuat beribadat. Dalam satu kisah, diceritakan bahawa terdapat segelintir penduduk yang melakukan kerja-kerja jahat tidak berpuas hati terhadap beliau kerana keramatnya menyebabkan golongan pencuri tidak dapat bermaharajalela di kampung berkenaan. Seorang lelaki daripada golongan berkenaan cuba memukulnya dengan buluh, tetapi sebaik saja dia ingin berbuat demikian, lelaki itu lumpuh serta merta. Lelaki itu kemudiannya meminta maaf kepada Haji Yaakub.
Dalam satu kisah lain, seorang pemandu bas dengan sengaja tidak memberhentikan kenderaan apabila ditahan oleh Haji Yaakub yang ingin pulang ke Kampung Gong Serai. Di pertengahan jalan, enjin bas berkenaan mati dan tidak dapat dihidupkan walaupun pelbagai cara dilakukan.
Setelah habis ikhtiar, pemandu berkenaan menjangkakan masalah itu berkaitan dengan Haji Yaakub. Lalu dia segera menghantar kenderaan lain untuk menjemput ulama berkenaan dan sebaik Haji Yaakub tiba, bas berkenaan dapat dihidupkan semula.