Kemerdekaan Menurut Perspektif Islam

Walaupun sudah 67 tahun negara mengecapi dan menikmati kemerdekaan, namun masih ada segelintir masyarakat di negara ini terutama generasi muda yang masih belum memahami dan memenuhi erti kemerdekaan sebenar menurut Islam. Secara umumnya, pembebasan daripada belenggu penjajah dianggap sebagai suatu kejayaan besar dan mutlak bagi melambangkan erti kemerdekaan sesebuah negara. Pengertian seperti ini sangat tidak tepat kerana makna kemerdekaan sebenarnya sangat luas dan tidak hanya terikat kepada pembebasan sesebuah negara dari cengkaman kuasa asing semata-mata.

Kemerdekaan yang sebenar menurut Islam boleh difahami daripada kata-kata Rub’ie bin A’mir ketika bertemu panglima tentera Rom yang bernama Rustum bahawa : “Allah mengutuskan kami (orang-orang Islam), untuk kami merdekakan manusia, dari mengabdikan diri sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah, daripa kezaliman agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat”.

Rub’ie bin A’mir menyimpulkan bahawa penjajahan bukan sahaja boleh berlaku melalui penguasaan bangsa asing terhadap sesuatu kaum, tetapi ia juga boleh berlaku melalui penguasaan bangsa sendiri. Kemerdekaan sebenar adalah kemerdekaan jiwa dan minda. Tanpa kemerdekaan jiwa dan minda serta fizikal tidak akan berguna.

Perjuangan jiwa merdeka bermula dari penolakan terhadap ketidakseimbangan dan ketidaksejahteraan kehidupan masyarakat sekeliling. Apabila Nabi Muhammad SAW diangkat menjadi rasul, wahyu Allah telah diturunkan kepada Baginda dan telah membebaskan pemikiran manusia daripada belenggu kejahilan yang pelbagai bentuknya terutama kejahilan akidah.

Sebelum kedatangan agama Islam, manusia masih terbelenggu dengan penjajahan akal dan hawa nafsu. Orang yang kuat atau kaya akan menindas orang yang lemah atau miskin. Agama Islam diturunkan antaranya dengan tujuan membebaskan manusia daripada penjajahan-penjajahan ini.

Inti pati kemerdekaan di sisi Islam sebenarnya ialah maqasid al-Syariah bagi setiap individu manusia kerana ukuran kesejahteraan manusia dilihat dengan kebebasan manusia untuk menikmati kepercayaannya, nyawanya dilindungi selain akal yang sejahtera untuk berfikir.

Sementara itu seorang lagi cendekiawan Islam tersohor yang turut memberi pandangan yang positif terhadap patriotisme ialah Muhammad Iqbal, ucapnya: “Patriotisme merupakan satu kebajikan yang benar-benar selaras dengan fitrah manusia, dan mempunyai tempat di dalam kehidupan moral manusia. Namun yang merupakan kepentingan sebenarnya adalah keyakinan manusia, kebudayaannya, dan tradisinya. Inilah hal-hal yang merupakan erti yang seharusnya dibawa hidup dan dibawa mati, bukan sejengkal tanah di mana jiwa manusia dihubungkan untuk sementara waktu.”

Sesungguhnya mencintai tanahair adalah suatu yang baik dan Islamik, tetapi rasa cinta ini mestilah dijelmakan sebagai cinta kepada hakikat sebenar atau cinta rohaniah yang ada kaitan dengan kecintaan kepada Allah SWT. Oleh itu seorang Muslim yang mencintai tanahairnya ialah seorang yang dapat memahami cintanya kepada Allah SWT dan pengabdi kepada yang mencipta tanahair itu, dan bukannya pengabdi kepada tanahair.

Kemerdekaan bukan sekadar dari segi pendudukan tentera dengan berjaya menghalau keluar penjajah dari bumi tercinta, tetapi juga kemerdekaan dari segi politik, ekonomi, pendidikan, budaya, teknologi dan lebih penting dari itu semua ialah kemerdekaan insan itu sendiri. Kemerdekaan insan adalah muqaddimah kepada segala bentuk kemerdekaan yang lain. Tanpa insan yang merdeka, kemerdekaan sebenar tidak akan tercapai dan perjuangan kemerdekaan hanya akan terhenti separuh jalan.

Perjuangan kemerdekaan memerlukan jiwa kental yang hanya dapat dibekalkan oleh Islam, iaitu jiwa yang memiliki pandangan dan memahami dimensi perjuangan dan bebanan yang harus dipikul. Mereka yang memahaminya dalam konteks ‘ubudiah dan kewajiban menegakkan Islam secara sempurna sahaja yang sanggup berkorban untuk satu perjuangan yang panjang.

Perjuangan untuk kemerdekaan kemanusiaan seluruhnya bukan sekadar perjuangan untuk mendapat sebidang tanah atau kepuasan membalas dendam kepada penjajah. Perjuangan ini juga adalah perjuangan mengekang hawa nafsu dari melakukan perkara yang bertentangan dengan syariat Islam.

Kembali menghayati al-Quran dan sunnah RasulNya adalah ramuan yang paling mujarab untuk mengisi kemerdekaan ini agar ummat Islam di negara kita menjadi ummah terbilang dan terunggul. Allah SWT telah mengutuskan Rasul dan al Quran sebagai kitab hidayah untuk dijadikan panduan hidup kita supaya segala apa jua tindakan kita adalah tidak tersasar dari jalanNya. Apa pun keadaan kita pada hari ini, jiwa merdeka perlu sentiasa tersemat di dalam dada.

Asas kepada jiwa merdeka ialah akidah yang kukuh. Berpaksikan kepada nur tauhid, manusia bukan sahaja akan sentiasa membebaskan dirinya daripada belenggu penjajahan secara zahiriah, tetapi akan sentiasa memastikan dirinya sebagai manusia atau umat yang memiliki maruah dan ada harga diri.

Apalah erti kemerdekaan yang ada ini, jika tidak diringi dengan semangat juang berterusan untuk membebaskan manusia seluruhnya dari pengabdian sesama makhluk kepada pengabdian sepenuhnya kepada Allah SWT.

Dengan memahami erti kemerdekaan yang sebenar dari aspek yang menyeluruh dapat melahirkan sebuah masyarakat yang bertamadun dengan tamadun al Quran dan negara yang diredhai Allah s.w.t. seperti kehendak al-Quran:

بلدة طيبة ورب غفور

Maksudnya: “(Negeri mu) adalah negeri yang baik dan (Tuhan mu) adalah Tuhan Yang Maha Pengampun”. (Saba’:15)

Wallahua’lam

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *