Dr Izham Hakimi Redzan

 

Tercatat di dalam bulan Rabiulawal pelbagai peristiwa yang bersejarah dan hari-hari yang agung dalam sirah Nabi SAW. Maka tidak sah bagi sesiapa yang menisbahkan dirinya sebagai pengikut Nabi SAW, umat baginda dan pecinta baginda kecuali dengan memerhatikan apakah peristiwa yang bersejarah yang telah berlaku pada umat manusia pada bulan ini. Ini bertujuan memperbaharui kelazatan iman, memperbanyakkan selawat ke atas baginda dan menguatkan kecintaan kita terhadap junjungan besar Nabi SAW.

Allah SWT telah menjadikan Nabi SAW sebagai perantaraan bagi mencapai keredaan-Nya dan kecintaan-Nya. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah Ali Imran, ayat 58: “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Maka tidak akan sampai seseorang itu ke hadrat ilahi kecuali dengan mengingati jalan baginda SAW dan petunjuknya. Selain itu, kesempurnaan iman seseorang Muslim tidak dapat digapai kecuali dengan menjadikan Nabi SAW sebagai orang yang paling dicintai. Sabda Nabi SAW: “Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga aku (Rasulullah SAW) lebih kamu sayang daripada orang tuanya, anaknya dan manusia keseluruhannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Bulan Rabiulawal tercatat padanya pelbagai peristiwa penting dalam sejarah kehidupan Nabi SAW yang boleh kita menghayatinya dan mengambil teladan daripadanya. Apa yang dapat dilihat juga, dalam bulan yang penuh berkat ini berlaku beberapa peristiwa penting dalam kehidupan Nabi SAW untuk umat Islam secara umumnya.

Pertama: Bulan Rabiulawal bulan Nabi SAW diangkat menjadi utusan Allah SWT.  Apa yang dimaksudkan sebagai kenabian adalah utusan Nabi SAW untuk menyampaikan agama Allah SWT dan syariatnya. Pendapat ini telah dinukilkan oleh Imam Ibnu Isḥak (w.151H) yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas, Jubair ibnu Mut’im dan Anas ibnu Malik yang dibenarkan oleh Ahli Sirah dan Ahli Athar seperti yang disebutkan oleh Imam as-Suhailī (w.543H) dalam karyanya ar-Raud al-Unuf  bahawasa Nabi SAW diangkat menjadi Nabi ketika usia baginda 40 tahun daripada hari kelahiranya.

Kedua: Rabiulawal berlaku peristiwa Isrāk dan Mikraj, yakni perjalanan ajaib dengan diperlihatkan keajaiban ciptaan makhluk Allah SWT kepada kekasih-Nya. Seterusnya, disyariatkan ibadah yang menjadi tiang agama iaitu solat lima waktu. Sebahagian ulama termasuk Imam Ibnu al-Athr (w.630H) dan Imam Al-Nawawi (w.676H) berpendapat perjalanan Israk dan Mikraj berlaku pada Rabiulawal.

Ketiga: Rabiulawal bulan berlaku hijrah Nabi SAW ke Madinah. Hijrah Nabawi adalah titik tolak kemenangan umat Islam yang Allah SWT janjikan kepada baginda. Disebutkan oleh ahli sirah sesungguhnya perjalanan hijrah Nabi SAW bersama Abu Bakar As-Siddiq meninggalkan kota Mekah bermula pada 2 Rabiulawal dan ketibaan baginda Nabi SAW di Madinah pada 12 Rabiulawal.

Keempat: Rabiulawal bulan wafatnya baginda Nabi SAW. Baginda telah meninggalkan warisan paling bernilai iaitu al-Quran dan Sunah. Selain itu, ditinggalkan juga kepada umatnya syariat baginda yang merupakan undang-undang tertinggi jika kita berpegang dengannya, maka kita tergolong manusia paling gembira di dunia dan di akhirat. Begitu juga, Nabi SAW diutuskan untuk membawa rahmat bagi sekalian alam. Makna rahmat ini merangkumi semasa kehidupan baginda, begitu juga selepas kewafatan baginda Nabi SAW. Ini dapat dilihat daripada sabda baginda Nabi SAW: “Kehidupanku suatu kebaikan buat kalian, (yakni) dengan berlakunya sesuatu perkara yang baharu diturunkan kepada kalian suatu pengkhabaran (syariat).  Begitu juga kematianku adalah kebaikan bagi kalian. Apabila aku mati amalan-amalan kalian akan dihadapkan kepadaku. Jika aku melihat ada padanya kebaikan maka aku akan memuji Allah SWT dan bersyukur kepada-Nya. Maka, jika aku melihat sebaliknya aku akan memohon pengampuanan untuk kalian daripada Allah SWT.” (Hadis riwayat an-Nasa’i)

Kelima: Rabiulawal bulan kelahiran Nabi Muhammad SAW. Para sejarawan bersepakat bahawa Nabi SAW dilahirkan pada bulan Rabiulawal tahun berlakunya peristiwa tentera bergajah di Mekah. Para ulama bersepakat juga bahawa Nabi SAW dilahirkan pada hari Isnin seperti diriwayatkan oleh baginda Nabi SAW ketika ditanyakan sebab kenapa baginda berpuasa pada hari Isnin. Baginda menjawab: “Hari tersebut (Isnin) hari aku dilahirkan dan hari aku diutuskan (menjadi nabi).” (Hadis Riwayat Muslim)

Apa yang dapat disimpulkan daripada peristiwa yang disebutkan ini, bahawas telah berlaku pada bulan Rabiulawal peristiwa penting di dalam kehidupan Nabi SAW. Maka, telah menjadi adat dan tradisi umat Islam semenjak kurun ke-6 Hijrah pada bulan Rabiulawal masyarakat Islam menyambut hari kelahiran Nabi SAW dengan menzahirkan kegembiraan bagi memperingati kelahiran seorang hamba Allah yang Istimewa yang menerangi umat manusia dengan cahaya iman dan hidayah.

Sebahagian ulama berpendapat sebaik-baik kurniaan Allah SWT dan rahmat-Nya yang dikurniakan kepada umat manusia adalah Nabi SAW. Dituntut kepada kita bergembira dengan nikmat ini dan rahmat ini yang bermula dengan saat kelahiran Nabi SAW. Ini difahami berdasarkan firman Allah SWT dalam surah Yunus ayat 58: 

“Katakanlah, semata-mata dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayang-Nya, maka dengan itulah hendaknya mereka bersukacita.”

Sambutan Maulid Nabi SAW disambut dengan menghayati sirah baginda, akhlak baginda dan bacaan qasidah pujian terhadap baginda SAW. Perkara ini, walaupun tidak wujud pada zaman Nabi SAW dan golongan salaf, tetapi ia perkara yang berbentuk bidaah hasanah yang merupakan satu cara mengingati Nabi SAW dan memperbaharui kecintaan kita terhadap baginda.

Disebutkan oleh Imam as-Sayuti (w.911H) di dalam kitabnya ‘Ḥusnu al-Maqṣid fi ‘Amali al-Maulid’ bahawasanya orang pertama mengadakan sambutan Maulid Nabawi ialah al-Malik al-Muẓaffar Abu Said Kaukabri (w.630H) raja kerajaan Zinki di Iraq. Beliau menjemput seorang ulama dari bandar Ceuta di Maghribi iaitu Sheikh Ibnu Diḥyah (w.633H) untuk menulis dan mengajar buku berkenaan dengan maulid Nabawi yang dikenali sebagai ‘at-Tanwr fi Maulid al-Bashr an-Nazr.’

Begitu juga sambutan maulid nabawi yang berlaku di Maghribi pada kurun ke-7 hijrah, secara khususnya di Bandar Ceuta ketika Sheikh Abu al-‘Abbas al-‘Azafi (w.633H) melihat adat orang Islam sudah bercampur dengan adat orang Kristian pada waktu tersebut dari segi pakaian, pemakanan, budaya dan sambutan hari perayaan. Maka beliau berfikir untuk menjadikan suatu cara untuk menjauhkan masyarakat Islam daripada perkara bidaah ini dan menghilangkan perkara yang mungkar ini dengan memperkenalkan sambutan maulid nabawi di kalangan masyarakat Ceuta pada waktu tersebut. Maka, begitulah sambutan maulid nabawi berjaya menjaga masyarakat Islam pada waktu tersebut daripada terpengaruh budaya Kristian sehinggalah Sheikh al-‘Azafi menulis sebuah kitab menerangkan kepentingan sambutan maulid yang bertajuk ‘ad-Dur al-Munaẓẓam fi Maulid al-Mu’azzam.’

Mungkin ada setengah golongan akan berkata sesungguhnya golongan pertama yang telah mengadakan sambutan maulid nabawi adalah golongan syiah rafiḍah ketika pemerintahan Kerajaan al-Fatimiyah di Mesir pada kurun ke-4 Hijrah. Perkara ini dijawab oleh seorang ulama di Maghribi iaitu Sheikh Abdu al-Muhaimn al-Ḥadrami (w.712M) apabila ditanya bagaimanakah kecintaan kamu terhadap Nabi SAW dan ahli keluarga baginda. Maka beliau menjawab: “Kecintaanku terhadap baginda SAW adalah kecintaan yang berasaskan syariat bukan kecintaan berasaskan syiah.”

Disebabkan makna yang tinggi dan nilai yang besar di sebalik hari kelahiran Nabi SAW sebahagian ulama berijtihad malam kelahiran Nabi SAW lebih mulia daripada malam lailatul qadar dengan melihat bahawa malam maulid itu adalah asal kepada malam lailatul qadar (furu’).

Perkara ini disebut oleh Sheikh Ibnu Marzq at-Tilmisani (w.781H) dalam karangannya ‘Jana al-Jannatain fi Tafdi al-Lailatain.’ Begitu juga, disebabkan kebesaran pada hari kelahiran Nabi SAW, baginda Nabi tidak menunggu untuk diraikan hari keputeraannya setiap tahun. Bahkan baginda SAW menjadikan setiap Isnin sebagai hari berpuasa tanda bersyukur kepada Allah SWT