Datuk Mohd Ajib Ismail
Saban waktu kita sering menerima berita tentang kematian sama ada melibatkan ahli keluarga terdekat mahupun sahabat handai. Asbab kematian pula berbagai-bagai seperti akibat penyakit, kemalangan, bencana alam, peperangan ataupun kematian mengejut. Hakikatnya kematian telah pun direncanakan oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam al-Quran surah Ali Imran ayat 185 yang bermaksud: “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati…”
Justeru kematian adalah detik yang tidak dapat dielakkan seperti dinyatakan dalam surah al-Nisa ayat 78 yang bermaksud: “Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh.”
Setiap manusia akan menghadapi perhitungan bagi segala amalan yang dilakukan semasa di dunia seperti peringatan Allah SWT dalam al-Quran surah al-Jumu’ah ayat 8 yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya).”
Ajaran Islam menganjurkan agar manusia sering mengingati kematian sebagaimana maksud hadis daripada Ibnu ‘Umar, ia berkata: “Aku pernah bersama Rasulullah SAW, lalu seorang Ansar mendatangi beliau, ia memberi salam dan bertanya, “Wahai Rasulullah, Mukmin manakah yang paling baik?” Baginda bersabda: “Yang paling baik akhlaknya.” Lalu Mukmin manakah yang paling cerdas?” Ia kembali bertanya. Baginda bersabda: “Yang paling banyak mengingat kematian dan yang paling baik dalam mempersiapkan diri untuk alam berikutnya, itulah mereka yang paling cerdas.” (Riwayat Ibnu Majah).
Imam al-Ghazali ketika menasihati murid-muridnya pula menyatakan bahawa yang paling dekat kepada manusia adalah kematian kerana kematian adalah rahsia Allah SWT. Manusia yang sering mengingati kematian dikatakan sebagai orang yang bijak kerana mendorong untuk mempersiapkan diri dengan amalan sebaliknya bukan sekadar berpeluk tubuh dalam kebimbangan dan ketakutan.
Manusia yang sering mengingati kematian adalah golongan yang mempunyai wawasan jelas dalam kehidupan. Pelbagai bentuk pelan dibangunkan bagi jangka masa pendek, sederhana dan panjang untuk mencapai sasaran yang ditetapkan dalam menggapai kejayaan di dunia. Namun dengan mengingati kematian mendorong seorang Mukmin merangka pelan strategik untuk kehidupan akhirat yang kekal abadi. Firman Allah SWT dalam surah al-A’la ayat 16 hingga17 yang bermaksud: ” (Tetapi kebanyakan kamu tidak melakukan yang demikian), bahkan kamu utamakan kehidupan dunia; Padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal.” Mempersiapkan diri dengan amalan untuk kehidupan selepas kematian adalah tindakan terbaik sebagaimana firman Allah dalam surah al-Duhaayat 4 yang bermaksud: “Dan sesungguhnya kesudahan keadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya.” Orang Mukmin diperintahkan agar melakukan penilaian terhadap amalan yang dilaksanakan supaya menjadi bekalan di akhirat selaras dengan penegasan dalam al-Quran surah al-Hasyr ayat 18 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (daripada amal-amalnya) untuk hari esok (Hari Akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan.”
Segala amalan di dunia sama ada ibadah khusus seperti solat dan zikir atau ibadah umum termasuk muamalah sesama manusia akan menjadi ganjaran di akhirat selagi mana dilaksanakan selari dengan tuntutan syariat dan berasaskan ketakwaan di sisi Allah SWT. Firman Allah dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 197 yang bermaksud: “Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal dengan secukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (daripada keaiban meminta sedekah); dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).” Setiap masa dan fasa kehidupan yang berlalu haruslah dimanfaatkan dan tidak disia-siakan bagi mengumpul sebanyak mungkin ganjaran pahala daripada pelbagai bentuk amalan yang dilakukan ketika di dunia. Perkara tersebut diperingatkan dalam sebuah hadis daripada Ibnu Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara: Masa mudamu sebelum datang masa tuamu, masa sihatmu sebelum sakitmu, masa kayamu sebelum datangnya masa sempitmu (miskin), masa lapangmu sebelum tiba masa sibukmu dan masa hidup mu sebelum tiba masa matimu.” (Riwayat Hakim dan Baihaqi)
Setiap kali menerima berita tentang kematian, seseorang Muslim disarankan untuk mendoakan keampunan, meringankan bebanan yang ditanggung oleh ahli waris, mengiringi dengan ucapan takziah dan berpesan-pesan dengan kesabaran. Ucapan takziah yang terbaik adalah sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis bermaksud: “Kembalilah kepada dia dan beritahulah dia bahawasanya kepunyaan Allahlah semua yang Dia ambil dan apa yang Dia beri, dan segala sesuatu di sisi-Nya telah ditentukan tempoh waktunya. Maka perintahkanlah agar hendaklah dia bersabar dan mengharapkan pahala.” (Riwayat al-Bukhari). Manakala bagi yang masih hidup, kematian merupakan suatu peringatan penting untuk kita sentiasa berusaha memperbaiki amalan.