Islam menyuruh umatnya bekerja bersungguh-sungguh agar menikmati kejayaan
di dunia. – Gambar hiasan
|
DI antara tohmahan sesetengah pihak terhadap tasauf dan ahlinya adalah tasauf itu mendorong kepada sikap pasif, jumud dan berserah semata-mata tanpa berusaha dan bekerja dalam menghadapi urusan dunia.
Oleh kerana kurangnya maklumat dan kefahaman sebenar terhadap persoalan ini, sebahagian masyarakat awam turut terpengaruh dengan persepsi ini.
Apabila anak-anak, saudara atau teman mereka terlibat dalam aliran berunsur tasauf, walaupun yang murni dan arus perdana, maka timbullah kegusaran dalam hati mereka bahawa aspek duniawi dan kebajikan mereka ini akan tertinggal dan terabai.
Persepsi salah ini perlu dijauhi. Jika tidak ia mungkin menjerumuskan kita dalam sikap menzalimi. Bahkan memusuhi mereka yang sebenarnya berada di atas kebenaran dan bahkan mungkin sebahagiannya adalah para wali atau kekasih-kekasih Allah SWT.
Memusuhi wali-wali Allah adalah termasuk beberapa kesalahan paling berat sehingga Allah SWT mengisytiharkan perang terhadap pelakunya seperti maksud satu hadis qudsi yang masyhur.
Sebenarnya, para pembaca sudah sepatutnya mampu menolak persepsi negatif ini jika mereka telah memahami dan bersetuju dengan penjelasan kami dalam siri ruangan ini yang lepas-lepas bahawa tasauf itu adalah tidak lain daripada dimensi ihsan agama kita dan bahawa tasauf hakiki adalah bersumberkan dan selari dengan al-Quran dan al-sunnah.
Mana mungkin sesuatu yang begitu asasi dan asli dalam Islam bersifat pasif, lemah dan jumud melulu?
Tanpa perlu berbahas panjang, seseorang yang bijaksana sudah mampu meletakkan isu ini pada kedudukan sebenarnya. Samalah seperti seseorang Muslim yang benar-benar faham dan yakin tentang sifat-sifat Maha Adil, Pengasih dan Penyayang yang ada pada Allah SWT.
Tanpa pembahasan terperinci tentang persoalan qada dan qadar, ketentuan, nasib dan seumpamanya, orang ini tetap tidak akan sampai mempertikaikan keadilan Tuhan di sebalik segala ketentuan buruk atau baik yang berlaku dalam kehidupan.
Namun, apakan daya. Kita ditakdirkan hidup dengan adanya suara-suara sumbang yang sering cuba menyerang tasauf. Maka perlulah soal ini dibahaskan.
Jika diteliti secara insaf, ajaran, aliran dan para pengamal tasauf hakiki sepanjang sejarah Islam adalah mereka yang sangat mementingkan berusaha dan bekerja dalam menghadapi urusan dunia.
Malah jika semboyan jihad dikumandangkan dalam situasi jihad peperangan yang benar-benar memenuhi syaratnya, kita akan dapati para ahli tasauf adalah antara mereka yang berada di saf hadapan tentera Islam.
Sikap ini jelas pada sunnah Rasulullah SAW dan para sahabat baginda yang merupakan para pengasas dan pemuka tasauf. Abdullah Ibnu Mubarak, Syaqiq al-Balkhi, Hatim al-‘Asom pula adalah antara tokoh tasauf yang menyusuli mereka yang tercatat jelas keperwiraan dan kepahlawanan mereka di medan jihad perang.
Begitu juga para pemuka tasauf yang datang kemudian seperti Imam Abul Hasan al-Syazuli dan Badiuzzaman Said Nursi.
Sejarah juga menjadi saksi kesatriaan para pejuang berlatar-belakangkan tasauf seperti Imam al-Sanusi di Libya dan Imam Syamil Al-Daghestani di Chechya.
Di alam Melayu, kita biasa mendengar tentang kepahlawanan para ulama sufi menentang penjajah Belanda dan Inggeris seperti para Wali Songo, Sheikh Abdul Samad al-Falembani, Sheikh Yusuf Tajul Khulwati al-Makasari.