Mohd Rizal Azman Rifin
Imam Ahmad ada merekodkan sebuah hadis yang menyebut bahawa Rasulullah SAW pernah mengingatkan umatnya dengan bersabda: “Seseorang itu terkesan dengan cara hidup teman rapatnya. Maka hendaklah setiap kamu memilih siapa yang menjadi temanmu.”
Hadis tersebut jelas membuktikan soal memilih teman atau sahabat itu bukan urusan remeh-temeh, sebaliknya ia turut menjadi urusan agama juga. Malahan, di ketika yang lain Rasulullah SAW juga ada membuat analogi perbandingan darihal pemilihan seseorang sahabat. Analogi itu terkandung dalam hadisnya yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang direkodkannya sebagai menyebut bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Perumpamaan teman yang baik dan teman yang buruk adalah seperti seorang penjual minyak wangi dan seorang tukang besi. Adapun, penjual minyak wangi akan memberi kamu (minyak wangi tersebut) atau kamu membeli daripadanya atau kamu mendapat bau yang harum daripadanya. Sedangkan tukang besi pula, akan membakar bajumu dan juga kamu mendapatkan bau yang busuk.”
Dua hadis tersebut sebenarnya cukup untuk kita memahami betapa Islam sangat menekankan aspek memilih seseorang sahabat dan ia sekadar pendidikan sampingan sahaja. Dewasa ini kita sudahpun dapat melihat sendiri bagaimana mudahnya generasi Islam khususnya anak-anak remaja dan belia dalam memilih sahabat atau teman.
Sedikit sebanyak pengaruh teman atau rakan sebaya amat kuat, sehingga tidak mustahil seseorang yang asalnya terdidik dengan asuhan yang sempurna, namun tatkala sudah bertemankan dengan insan yang kurang elok adab dan akhlaknya, maka pengaruh buruk itu akan menyerap juga. Kita sering dihidangkan dengan paparan laporan media yang melaporkan berkenaan isu penyalahgunaan najis dadah, lumba haram, isu gejala hedonisme, kebanyakannya berpunca daripada tindakan liar yang tidak beradab.
Ibnu Athaillah al-Sakandari juga ada memperkatakan tentang sahabat ini yang antara lain katanya: “Usah bersahabat dengan orang yang tidak membangkitkanmu menuju kebaikan dan kata-katanya membawamu menuju reda Allah.”
Sememangnya benar apa yang dipesankan oleh Ibnu Athaillah itu kerana sudah nyata dalam pergaulan, tabiat dan perangai mudah menular dari seseorang individu kepada individu yang lain. Saidina Umar al-Khattab ada memberitahu bahawa Rasulullah SAW ada bersabda: “Sesungguhnya antara hamba-hamba Allah ada manusia yang bukanlah nabi atau syuhada tetapi mereka dicemburui oleh para nabi dan syuhada.”
Mendengarkan Rasulullah SAW memberitahu perkara itu, lalu para sahabatnya bertanya: “Wahai Rasulullah, siapakah mereka itu? Beritahukanlah kepada kami? Kemudian, Rasulullah SAW memberitahu mereka dengan bersabda: “Mereka ialah kaum yang saling mengasihi dengan rahmat Allah walaupun tanpa ada hubungan kerabat ataupun harta. Demi Allah, wajah mereka sangat bercahaya dan mereka berada di atas cahaya. Mereka tidak takut ketika manusia lain takut dan tidak pula bersedih ketika manusia lain bersedih. Lalu kemudian Rasulullah SAW membacakan ayat: “Ingatlah, sesungguhnya kekasih-kekasih Allah itu tidak ada bagi mereka ketakutan dan mereka tidak pula bersedih hati.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Jadi, boleh kita katakan memilih seseorang sahabat atau teman bukan semata-mata sekadar mahukan bersahabat dan berteman semasa hidup di dunia ini sahaja, sebaliknya sahabat atau teman itu biarlah sampai ke syurga Jannah Allah. Dalam masyarakat Arab dahulu ada ungkapan kata yang menyebut: “As-Shahib sahib” yang bermaksud ‘rakan adalah penarik.’
Demikian juga ada kalangan kita yang mungkin pernah mendengar kata-kata yang berbunyi: “Jangan tanya siapa aku, tetapi tanya dengan siapakah aku berkawan, maka kamu pasti mengenali diriku.” Sesungguhnya, mendapat sahabat atau teman yang baik lagi soleh itu juga merupakan ‘rezeki’ yang Allah kurniakan. Justeru, seharusnya bersyukur setinggi-tingginya apabila kita bersahabatkan dengan insan yang baik dan soleh dengan sentiasa menjaga dan memelihara adab berteman yang mengikut landasan diredai Allah.
Apabila memperoleh sahabat atau teman yang baik dan soleh umpama kita dikurniakan intan berlian yang sangat bernilai. Lihatlah dan ambillah contoh kehidupan para sahabat Rasulullah SAW dahulu yang hidup bersahabat dengan penuh rahmat berdasarkan akhlak dan adab Islam yang jitu. Hidup mereka tak tumpah bagaikan aur dengan tebing. Seiras ungkapan, ke bukit sama didaki, ke lurah sama menuruni. Seerti bak umpama cubit paha kanan, terasa juga paha kiri.
Keakraban dalam bersahabat di atas landasan kasih sayang kerana Allah telah menzahirkan senario sosial yang cukup damai dan tenteram. Sukar untuk mencari kisah para sahabat yang saling bertelagah dan bermusuh sesama mereka dalam sirah. Yang ada hanya sarat dengan bentuk alur kehidupan yang bertunjangkan kasih sayang berpayungkan bimbingan dan pendidikan yang diberikan oleh Rasulullah SAW.
Apa yang terzahir semasa zaman Rasulullah SAW dahulu tidak lain ialah suatu bentuk sosial dengan para sahabatnya saling faham memahami, saling membantu keperluan mereka yang memerlukan dan jauh sekali berburuk sangka dan membuat fitnah terhadap sahabat. Malah, semasa sahabatnya menyindir dan memperlikan sahabat lainpun, Rasulullah SAW cepat-cepat menegahnya. Hal itu dapat kita kesan menerusi satu kisah yang terjadi pada diri seorang sahabat Rasulullah SAW yang bernama Abdullah bin Mas’ud atau Ibnu Mas’ud.
Kisah beliau itu diceritakan oleh Saidina Ali bin Abi Talib yang katanya: “Pada suatu hari Rasulullah SAW menyuruh Ibnu Mas’ud untuk memanjat sebatang pohon bagi mengambil sesuatu daripadanya. Para sahabat yang berada di bawah pohon itu melihat betis Ibnu Mas’ud begitu kecil, lalu mereka ketawa kerana betis Ibnu Mas’ud itu tidak berisi. Melihat situasi sedemikian, Rasulullah SAW bertanya kepada para sahabatnya: “Kenapa kamu semua ketawa? Ketahuilah oleh kamu bahawa di akhirat nanti, timbangan kaki sahabat kamu, Ibnu Mas’ud itu lebih berat daripada Gunung Uhud.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)
Jadi, tidak hairanlah mengapa di zaman Rasulullah SAW dahulu para sahabatnya hidup dalam suasana penuh damai dan tenteram kerana apa sahaja yang bertentangan dengan adab dan etika bersahabat akan segera ditegur oleh Baginda.
Justeru, marilah kita jadikan sahabat kita sebagai ‘sahabat dunia dan akhirat kita.’