Mohd Rizal Azman Rifin
PENCAPAIAN dalam akademik menjadi impian setiap pelajar dan hakikat itu dapat dilihat dengan kesungguhan tahap tinggi diusahakan demi merealisasikan apa yang dihajati. Dengan fenomena masyarakat yang lebih banyak memandang pemerolehan capaian akademik tinggi sebagai pengukur kejayaan seseorang individu.
Tidak hairanlah mengapa setiap sekolah dan pelajarnya ‘berkejaran’ dengan masa bagi mempersiapkan diri mencapai kedudukan terbaik dalam peperiksaan. Tidak cukup dengan sesi pembelajaran pada waktu persekolahan, pelajar menghabiskan masa pula di kelas tambahan pada waktu petang dan kelas tuisyen hujung minggu.
Dalam seminggu, anak kita diisi dengan sesi pembelajaran sehingga sesekali terfikir hanya pencapaian akademik sahaja yang bakal menjadikan anak kita berjaya. Benarkah sedemikian tanggapannya?
Sememangnya diakui pencapaian dalam akademik sangat penting apatah lagi pada zaman yang menekankan kepada memperoleh kepandaian ilmu pengetahuan untuk meraih ruang dan peluang lebih cerah dalam kerjaya.
Namun, pemerolehan akademik yang tinggi sahaja belum memadai untuk menjadikan seseorang itu mampu meneruskan kehidupan dengan berjaya.
Pembinaan akhlak dan membina keperibadian luhur sebenarnya elemen yang perlu diseiringkan dengan usaha kita mendapat ilmu. Setinggi mana sekalipun pencapaian seseorang dalam bidang akademik masih dikira ada kelompongan pada diri seseorang individu. Kekurangan dalam pembentukan sahsiah peribadi yang sempurna berdasarkan aturan dan nilai agama serta adat norma masyarakat berkemungkinan menyebabkan seseorang tidak mampu mengawal diri untuk kehidupan masa depan khususnya dalam bidang kerjaya.
Betapa ramai mereka yang memiliki akademik yang tinggi, namun gagal dalam bentuk sahsiah peribadi. Akhlak yang murni yang sejajar dengan kehendak dan ajaran agama akan membolehkan setiap orang menjalani kehidupan dengan gaya yang diredai Allah tanpa dihanyut oleh anasir yang ditegah agama.
Jadi, usaha memupuk nilai murni perlu dipersiapkan kepada setiap diri anak kita. Bermula di rumah, peranan ibu bapa tunjang dalam menghasilkan anak yang baik akhlaknya.
Di sekolah pula, didikan akademik mesti diseiringkan dengan pemupukan nilai akhlak dan moral. Ini supaya anak kita tidak sekadar hanya bergaya dengan pencapaian yang cemerlang dalam akademik sahaja, tetapi pada masa sama mereka juga menjadi orang yang murni akhlak peribadinya.
Di sekolah, peranan pihak pengurusan dan warga pendidik tidak seharusnya memandang pencapaian akademik dan keputusan peperiksaan yang cemerlang sebagai penanda aras keberhasilan kualiti pendidikan. Semua yang terlibat dalam sistem pendidikan khasnya warga pendidik sewajarnya meletakkan usaha memupuk nilai sahsiah murni pada peribadi anak muridnya sebagai agenda utama di samping mengejar status kecemerlangan akdemik. Agenda utama sebagai pendidik adalah untuk menyalurkan ilmu pengetahuan, selain memberikan penekanan kepada aspek seperti kokurikulum, sukan dan pelbagai kemahiran dalam kalangan pelajar.
Penguasaan ilmu dan berketerampilan sahaja tidak mencukupi sekiranya nilai murni tidak dijadikan pedoman. Justeru, nilai-nilai agama, moral dan semangat perpaduan inilah yang akan menjadi petunjuk kepada generasi muda untuk menempuh kehidupan yang penuh cabaran.
Sehubungan itu, bagi melahirkan pelajar yang seimbang, tumpuan tidak hanya tertumpu kepada pencapaian prestasi pelajar daripada segi akademik, sebaliknya pada masa sama perlu diimbangi dengan perkembangan tinggi dalam aspek keperibadian.
Dalam hal ini seharusnya sebagai ibu bapa,kita tidak sewajarnya risau terhadap mutu pencapaian anak dalam akademik sahaja, tetapi juga sangat mustahak untuk kita risaukan berkenaan akhlak dan sahsiah diri mereka.
Kedua-duanya perlu kita risaukan dan berikan tumpuan secara saksama.
Sebagai ibu bapa dan pendidik, aspek pendidikan akhlak moral murni ke arah matlamat melahirkan insan generasi muda yang unggul keperibadiantidak boleh dikesampingkan, meskipun kita mungkin lebih ghairah dalam berusaha mengejar ranking pencapaian akademik. Ini kerana anak kita hari ini adalah penerus wajah dan imej Islam yang akan datang.
Jika kita lihat perjalanan hidup Junjungan Besar Rasulullah SAW, maka banyak pengajaran yang disampaikan oleh baginda terkisar pada aspek membina akhlak dalam kalangan sahabatnya. Baginda SAW dilaporkan pernah didatangi oleh satu utusan untuk bertemunya dan semasa pertemuan itu, utusan berkenaan ada melontarkan pertanyaan: “Wahai Rasulullah, siapakah hamba Allah yang dicintai-Nya?’ Baginda SAW menjawabnya, ‘Orang yang baik akhlaknya.”‘(Hadis Riwayat al-Haitsami)
Muslim yang baik akhlaknya juga insan yang dicintai Rasulullah SAW sebagaimana diterangkan dalam sebuah hadis Riwayat at-Tirmizi yang menyebut bahawa Rasulullah SAW memberikan jaminannya dengan bersabda: “Sesungguhnya orang yang paling aku cintai dan paling dekat tempat duduknya denganku pada hari kiamat adalah orang yang paling baik akhlaknya.”
Malah, Rasulullah SAW juga mengingatkan umatnya bahawa aspek akhlak murni adalah faktor utama masuknya seseorang itu ke syurga kerana orang bertakwa yang baik akhlaknya. At-Tirmizi dan Ibnu Majah ada meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW memperingatkan dengan bersabda: “Penyebab utama masuknya manusia ke syurga adalah bertakwa kepada Allah dan kebaikan akhlaknya.”
Kita begitu risau dengan beberapa isu gejala negatif yang melanda remaja baik di sekolah mahupun di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam pelbagai perbuatan perlanggaran disiplin dan yang bertentangan kerukunan adab susila.
Kejadian buli contohnya masih terus berlaku dan fenomena sebegini tidak boleh dipandang isu terpencil yang boleh dipendam dan didiamkan sahaja, sebaliknya semua pihak perlu berasa bimbang seterusnya mengorak pendekatan terbaik dalam usaha menanganinya.
Pastinya, kita semua begitu ingin melihat yang anak kita dan generasi muda hari ini menjadi manusia berguna untuk bangsa dan negara dengan tampilan reputasi akademik tinggi bersendikan keluhuran akhlak serta adab terpuji.