Dr Mohd Sukki Othman

 

Pada hari ini, kebanyakan kita terbabit dengan hutang. Kebiasaannya kita membeli kenderaan dan rumah secara hutang dengan bank dan syarikat kewangan.

Amat sedikit dalam kalangan kita yang mampu membeli semua itu secara tunai. Malah ada yang membeli kelengkapan rumah secara berhutang atau secara ansuran.

 

Bagi masyarakat bandar pula kad kredit adalah umpama kad ajaib untuk mereka membeli keperluan harian mereka dengan berhutang.

Pendek kata, amalan berhutang sudah menjadi budaya biasa dalam kalangan hampir seluruh penduduk Malaysia.

Mungkin dalam kalangan mereka itu peniaga yang paling banyak berhutang. Mereka berhutang untuk memulakan perniagaan atau membesarkannya.

Hal ini mungkin tidak dapat dielakkan lagi oleh kebanyakan peniaga kerana tidak memiliki wang simpanan yang dapat memenuhi keperluan perniagaan mereka.

Mereka terpaksa menagih hutang dengan institusi kewangan, malah ramai juga yang menjadikan saudara-mara serta sahabat handai sebagai tempat untuk mereka berhutang.

Hutang wajib dibayar

Satu hal yang amat penting apabila berhutang ialah membayar hutang. Ramai dalam kalangan kita yang pandai berhutang, tetapi tidak pandai membayar atau melengahkan pembayaran hutang.

Dalam Islam, hutang dianggap sebagai satu amanah yang wajib dilaksanakan apabila sampai tempoh dijanjikan.

Islam menganggap hutang itu sebagai beban yang menjadi amanah untuk diselesaikan dan dilunaskan. Bayangkan jika seseorang yang berhutang itu meninggal dunia, maka dia akan dipertanggungjawabkan ke atas hutang yang belum dilunaskannya.

Jika dia mempunyai harta pusaka, maka hendaklah diselesaikan bahagian hutangnya terlebih dahulu sebelum bahagikan faraid kepada warisnya.

Begitu berat tanggungan orang yang berhutang. Oleh itu, Islam menasihatkan umatnya menghindarkan diri daripada berhutang kecuali kerana sangat-sangat memerlukan.

Jika pun terpaksa berhutang, hendaklah dengan niat dan azam untuk membayar hutang berkenaan.

Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa mengambil harta orang lain (berhutang) dan berniat akan membayarnya, maka Allah akan mempermudahkan niatnya itu untuk membayar hutang. Akan tetapi sesiapa mengambilnya dengan niat akan membinasakannya (dengan tidak membayar hutang) maka Allah akan membinasakannya.” (Riwayat al-Bukhari)

Orang yang tidak membayar hutang akan menjejaskan amalannya apabila ditagih hutang terbabit selepas kematiannya.

Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang mati sedangkan dia berhutang dalam bentuk dinar atau dirham, maka akan dilunasinya daripada kebaikannya (pahalanya) sehingga habis (nilai) dinar dan dirham tersebut.” (Riwayat Ibnu Majah)

Amat malang bagi orang yang tidak membayar hutang kerana segala amalan kebajikannya akan hilang untuk menggantikan hutang dilakukan ketika di atas dunia.

Malah dalam riwayat lain, Rasulullah menyatakan bahawa jiwa orang yang berhutang akan tergantung sehingga dilunasi hutangnya itu.

Melengahkan pembayaran hutang adalah satu kezaliman

Walaupun seseorang itu ada niat untuk membayar hutang, namun dia tetap bersalah jika melengah-lengahkannya.

Sabda Rasulullah SAW: “Maksudnya: Perbuatan melengah-lengahkan pembayaran hutang oleh (atau kepada) seorang yang kaya adalah satu kezaliman.” (Riwayat al-Bukhari)

Ibnu Hajar mentafsirkan maksud (orang kaya) dalam hadis dengan dua andaian. Jika (orang kaya) di sini bermaksud orang yang berhutang, maka maksudnya menjadi perbuatan orang kaya yang melengahkan pembayaran hutang adalah satu kezaliman. Jika (orang kaya) di sini bermaksud orang yang dibayar hutang atau yang memberi hutang, maka maksudnya menjadi perbuatan melengahkan pembayaran hutang kepada orang kaya adalah satu kezaliman.

Berdasarkan tafsiran kedusa ini bermakna jika melewatkan pembayaran hutang kepada orang yang kaya adalah satu kezaliman maka melewatkan pembayaran hutang kepada orang yang tidak kaya adalah lebih buruk daripada itu.