Mohd Fahimi Zakaria

 

Adab dan ilmu dua perkara penting yang mesti diperoleh dengan kaedah yang betul supaya manusia itu dapat membentuk dirinya dengan proses pendidikan agama.

Dua perkara ini adalah syarat utama dalam keperluan keperibadian Muslim yang akan memandu tindak-tanduknya berdasarkan kehendak agama.

Adab tanpa ilmu satu kerugian manakala ilmu tanpa adab pula satu fitnah, justeru kedua-dua adab dan ilmu perlu dicapai secara sempurna kerana dengan kedua-duanya akan menyempurnakan agama seseorang.

Namun, antara kedua-duanya ada yang pertama dan yang kedua, adapun yang pertama ialah adab sementara yang kedua pula barulah ilmu.

Jika dia hanya beradab, tetapi tiada ilmu, maka menjadi satu kerugian baginya kerana perjalanannya tanpa destinasi. Jika dia hanya berilmu, tetapi tiada adab, maka sesungguhnya fitnah besar atas dirinya kerana perjalanannya satu yang ajaib kerana tiada permulaan tiba-tiba sampai ke destinasi.

Justeru, al-Quran menjelaskan keperibadian yang ada pada diri Rasulullah SAW sebagai pengiktirafan yang paling tinggi, iaitu: “Sesungguhnya engkau memiliki budi pekerti yang paling agung.”

(Surah al-Qalam: 4)

Menurut Imām Ibnu Kathir, seorang sahabat bernama Sa’ad bin Hisyam bertanya kepada Saidatuna’Aishah RA mengenai bagaimana akhlak baginda SAW, lalu beliau menjawab: “Akhlak baginda ialah (seperti di dalam) al-Quran.” (Tafsir Ibn Kathir)

Imam al-Suyuti memuatkan sebuah hadis daripada ‘Abdullāh bin Mas’ud bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tuhanku mengajarku tentang adab, lalu Dia memperelokkan adabku.” (al-Jami’ al-Saghir)

Kata-kata yang masyhur daripada Imām Mālik kepada seorang budak: “Wahai anakku, belajarlah adab sebelum kamu belajar ilmu,” ini jelas menunjukkan perihal adab adalah langkah pertama dalam sebuah perjalanan menuju destinasi.

Tanpa adab, ilmu yang dicari hanya mengundang fitnah kepada diri dan agama.

Abdullah bin Mubarak pernah berkata: “Kami sangat berhajat kepada adab berbanding hadis (ilmu),” maka adablah penentu aras keperibadian seseorang sebelum bicara soal ilmunya atau sijil pengajiannya.

Begitu dalam konteks pendidikan kekeluargaan, ibu bapa seharusnya menerapkan akhlak dan adab dalam diri ahli keluarga sejak dari rumah sebelum mereka menuju alam persekolahan, kampus dan pekerjaan.

Ibu bapa yang beradab akan bertindak mengikut akal yang sempurna, bercakap dengan anak-anak secara lemah lembut dan penuh kasih sayang.

Suami dan isteri yang beradab pula sentiasa hormat- menghormati dan saling memuliakan antara satu sama lain. Begitu juga anak-anak yang beradab akan merendahkan suara di hadapan ibu bapa, segera memenuhi permintaan mereka dan sentiasa memohon reda mereka dalam apa jua tindakan.

Seterusnya manusia yang beradab akan sentiasa menghormati orang lain walau siapa pun dan apa pun pekerjaan orang itu.

Agama tidak membezakan kedudukan manusia sama ada raja atau rakyat jelata, bangsawan atau fakir miskin, ulama atau orang awam, majikan atau pekerja. Agama hanya memuliakan seseorang itu dengan ketakwaan yang dimilikinya.

Justeru, al-Quran menegaskan: “Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa daripada kalangan kamu.” (Surah al-Hujurat: 13)

Takwa terhasil daripada adab yang dibina dalam diri manusia, lalu adunan ilmu dan proses pendidikan yang berlaku secara konsisten sehingga gabungan adab dan ilmu terbabit melahirkan perasaan takut kepada Allah SWT dan seterusnya menjadikan dirinya hamba yang bertakwa.

Selepas langkah permulaan itu betul mengikut syaratnya, maka barulah belajar ilmu pula. Ilmu bermanfaat yang meliputi ilmu dunia dan akhirat, ilmu kehidupan dan ilmu agama.

Sesungguhnya tempoh belajar adab jauh lebih panjang berbanding belajar ilmu seperti kata Imām Sufyan al-Thawri: “Jika seorang itu mahu menulis hadis (yakni berbicara soal ilmu), maka dia hendaklah belajar adab terlebih dahulu selama 20 tahun.” (Ḥilyah al-Awliya’)

Ini matlamat utama perutusan baginda SAW buat masyarakat Arab jahiliah yang ratusan tahun lamanya hidup dalam kerosakan akhlak, kehidupan tanpa kasih sayang dan tiada ketamadunan.

Sabda baginda SAW: “Sesungguhnya aku hanya diutuskan untuk menyempurnakan akhlak.” (Riwayat al-Baihaqi)

Kesimpulan daripada perbincangan ini, kita sewajarnya mendidik diri, keluarga dan masyarakat dengan pendidikan adab sejak dari rumah sebagai proses pembinaan tamadun Islam yang lebih berkualiti.

Rukun negara yang terakhir berbunyi kesopanan dan kesusilaan sangat jelas menunjukkan hasrat negara untuk melahirkan warga yang mengamalkan prinsip rukun negara melalui pembudayaan nilai adab.

Jika ramai intelektual sekalipun dalam sesebuah tamadun, namun tiada adab, maka binasa dan sia-sia sahaja nilai sesebuah tamadun itu.

Sesungguhnya adab membuka jalan menuju ilmu, tetapi ilmu tanpa adab hanya membuka jalan-jalan fitnah dan merosakkan imej agama.

Biar masa kita terbuang lama dalam pencarian adab, tetapi tiada guna sedikitpun jika masa yang lama digunakan mencari ilmu sedangkan dirinya sombong, tiada sedikitpun manfaat buat dirinya apatah lagi agamanya