Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Ilmu teras Istiqamah selepas Ramadhan

HASHNAN ABDULLAH

 

SEDAR atau tidak, hampir dua minggu Ramadan melabuhkan tirainya. Segala usaha menggandakan amalan selain menahan lapar dan dahaga bagi meraih ganjaran sepanjang bulan mulia tersebut masih diraikan hingga ke hari ini.

Namun, dalam kegembiraan itu, masihkah terselit dalam jiwa kita untuk berazam bagi memastikan amalan fardu dan sunat yang dilaksanakan sepanjang Ramadan terus berkekalan?

Apa tidaknya, realiti semasa memperlihatkan roh Ramadan hanya kekal sepanjang bulan itu sahaja.

Kalau ada yang bertahan, mungkin setakat awal Syawal sahaja. Itu pun kerana adanya puasa sunat enam hari.

Pengarah Pusat Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Abdull Rahman Mahmood menyifatkan situasi itu wujud kerana rata-rata umat Islam melihat roh Ramadan tidak lebih sekadar satu budaya.

Apa tidaknya kata beliau, ketika Ramadan ibadat berkenaan dibuat secara beramai-ramai, tetapi selepas itu ia membabitkan amalan secara bersendirian walaupun dituntut kepada semua Muslim.

“Ia sudah jadi macam satu budaya yang kita sendiri buat dan sudah pasti kalau suatu hari nanti bila ramai orang sudah tidak laksanakannya, maka hilanglah ia (roh Ramadan) selama-lamanya.

“Jadi, besar kemungkinan yang melaksanakan ibadat itu disebabkan oleh budaya atau ikutan sahaja, bukannya disebabkan kesedaran dalam diri sendiri,” katanya ketika ditemui di Pusat Islam UKM, Bangi, baru-baru ini.

Antara amalan yang mula ditinggalkan selepas Ramadan adalah tadarus al-Quran, sunat witir, solat berjemaah, sedekah, sifat sabar, puasa sunat, hadir dalam sesi tazkirah dan menunggu masuk waktu solat terutama maghrib.

Abdull Rahman seterusnya memberitahu, fenomena tradisi atau budaya tersebut terjadi kerana pelaksanaan terhadap sesuatu ibadat bukan berasaskan ilmu.

“Jika berasaskan ilmu, barulah ia ada elemen istiqamah, tetapi jika kerana dorongan tertentu atau sekadar ikutan, dalam banyak keadaan ia berpotensi terhenti begitu sahaja,” katanya.

Beliau berkata, kepentingan ilmu tersebut sejajar dengan pandangan pemikir Islam, Imam al-Ghazali yang melihatnya kerana dua sebab utama iaitu:

1- Supaya ibadat menepati hukum.

2- Agar diterima oleh Allah.

Ini kerana tambahnya, apa-apa ibadat dilaksanakan tidak berasaskan ilmu bukan hanya sukar untuk dilakukan mengikut kaedah yang tepat, malah tidak konsisten.

Namun begitu, Abdull Rahman menyarankan agar usaha untuk istiqamah dalam melaksanakan perintah Allah sepanjang hidup kita itu sebaik dimulakan dengan bertaubat kepada-Nya.

Ini kerana, beliau percaya kita tidak akan berupaya melakukan apa sahaja ibadat dan taat kepada perintah-Nya dalam keadaan kita masih bergelumang dengan dosa dan maksiat.

“Walaupun kita tahu Ramadan bulan keampunan, tetapi itu hak Allah kepada hamba-Nya. Bagi pihak hamba kepada Allah, kita perlu untuk bertaubat dan bertakwa kepada-Nya,” katanya.

Related Posts

Kejar keberkatan rezeki halal

Oleh Ustaz Zawawi Yusoh ALLAH menjamin rezeki makhluknya. “Dan, tidak ada suatu binatang melata pun di bumi, melainkan Allahlah yang akan memberi rezekinya.” (Surah Hud ayat 6). Sumber rezeki sangatlah…

Ilmu agama wajib berguru

Ahmad Fahmi Azalee   Pada zaman ledakan digital, mencari jawapan kepada apa-apa isu agama hanya di hujung jari. Taip sahaja kata kunci seperti ‘hukum inai lelaki’, ‘hukum sambut hari jadi’…

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *