Ustaz Abd Rahman Tajuddin
Baru-baru ini tular di laman sosial berhubung orang ramai bertabarruk dengan pasir kubur seorang hafaz al-Quran yang berbau wangi. Terdapat segelintir yang menyatakan ia perbuatan khurafat, seharusnya kita berhati-hati sebelum menzahirkan perkara berkenaan.
Hal bertabarruk dengan sesuatu dengan menziarahi makam termasuk menyentuh pasir untuk bertabarruk mempunyai nas dalilnya.
Dewasa ini, muncul fahaman yang memudahkan orang melontarkan khurafat dan syirik kepada tabarruk iaitu mengambil keberkatan orang soleh yang meninggal dunia di sisi kubur mereka.
Sedangkan tabarruk iaitu ‘mengambil berkat’ wujud dalam hadis yang sahih. Ini seperti sabda Rasulullah SAW yang menyatakan berkat itu ada pada orang besar (anbia, auliya, ulama dan solehin).
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Keberkatan itu bersama orang besar kalian.” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban No 559, Al Hakim No 210, katanya: Hadis sahih sesuai syarat al-Bukhari. Al Baihaqi dalam Syu’abul Iman No 11004 dan lain-lain)PauseNextUnmute
Keberkatan ini terkandung pada hal berkaitan kepada orang berkenaan seperti kain, rumah, barang peribadi, air, kolam, gelas, rambut dan termasuk tanah kubur yang terkandung jasad mereka.
Mengenai keberkatan barang peribadi Rasulullah SAW, ia telah digunakan untuk menyembuhkan penyakit. Keberkatan ini menyembuhkan apa sahaja penyakit.
Keberkatan peninggalan baginda SAW ini terbukti berada di dalam hadis Sahih Muslim. Ia diriwayatkan oleh Asma binti Abi Bakar RA. Aisyah RA menyimpan jubah Rasulullah SAW yang selalu digunakan semasa baginda hidup. Jubah itu dicuci oleh Asma dan airnya digunakan oleh orang yang sakit, akibatnya orang itu sembuh. Hal ini menunjukkan wujudnya barakah di sisi Rasulullah SAW dan aulia solehin.
Hadis ini disyarahkan oleh Imam an Nawawi bahawa keberkatan itu juga termasuk kepada peninggalan golongan auliya solehin seperti di dalam Kitab Minhaj beliau. Dalam hadis ini, ia menjadi dalil bahawa hal yang disukai bertabarruk dengan bekas golongan solehin dan pakaian mereka. (Al Minhaj Syarah Shahih Muslim, 14/44)
Malah, syarahan Imam Nawawi ini juga diperkukuhkan dan ditegaskan oleh Imam Abul Hasan as Sindi ketika beliau menjelaskan sahabat yang bertabarruk dengan air wuduk bekas Nabi Muhammad SAW, maka ia juga sebagai dalil bolehnya tabarruk dengan bekas orang solehin. Pada hadis ini bukti adanya tabarruk kepada bekas harta orang solehin. (Hasyiyah As Sindi ‘Alan Nasa’i, 2/38)
Sedangkan Imam an Nawawi juga berkata tentang hadis berkenaan bekas wuduk. Pada hadis itu menjadi bukti tentang bertabarruk dengan sisa orang solehin dan memanfaatkan sisa air bersuci, makanan, minuman serta pakaian mereka. (Al Minhaj Syah Shahih Muslim, 4/219)
Ini menunjukkan wujud keberkatan pada sesuatu yang ada kaitan dengan aulia solehin. Tabarruk di tempat itu tiada masalah dan ia bukan syirik seperti yang dituduh oleh golongan literalisme. Syirik itu jika meyakini ada Tuhan selain Allah.
Ulama yang terkenal iaitu Imam as Suyuthi menyatakan bahawa memang benar ada keberkatan pada bekas orang solehin. Hadis ini dasar tentang bertabarruk dengan bekas orang solehin dan pakaian mereka. (Hasyiyah Ibni Majah, Hal 105)
Malah, Imam Badruddin al Aini juga sedemikian yang menyatakan bekas orang solehin mempunyai keberkatan dan diharuskan untuk bertabarruk dengan berkata bahawa pada hadis berkenaan adalah dalil bolehnya bertabarruk dengan bekas orang solehin. (Umdatul Qari, 4/386)
Imam Abu Thayyib Syamsul Azhim Abadi ketika menjelaskan hadis riwayat Abu Daud (No 52) itu, dengan sanad hasan, tentang Aisyah RA bersiwak menggunakan siwak bekas dipakai oleh Nabi Muhammad SAW setelah dicucinya.
Hadis itu terdapat kebenaran bertabarruk dengan bekas orang solehin dan berlazat-lazat (bersenang-senang) dengannya. (Aunul Ma’bud,1/52)
Mengambil tabarruk ini sebenarnya telah dilakukan oleh ulama salaf silam. Dalam sejarah Imam as-Syafii pernah bertabarruk dengan baju Imam Ahmad bin Hambal yang juga sahabatnya sekali gus muridnya sendiri. Hal ini diceritakan oleh Imam Ibnu Asakir berikut ini:
Berkata Rabi’: “Imam Syafii pergi ke Mesir bersamaku, lalu berkata kepadaku: ‘Wahai Rabi’, ambil surat ini dan serahkan kepada Abu Abdillah Ahmad bin Hanbal, selanjutnya datanglah kepadaku dengan membawa jawapannya!”
“Aku memasuki Baghdad dengan membawa surat, aku menjumpai Imam Ahmad sedang solat Subuh, maka aku pun solat di belakang beliau. Setelah beliau hendak beranjak dari mihrab, aku serahkan surat itu: ‘Ini surat daripada saudaramu Imam Syafii di Mesir,’ kataku.
“Kau telah melihat isi surat ini?” tanya Imam Ahmad. Aku jawab: ‘Tidak.’ Beliau membuka dan membaca isi surat itu, sejenak kemudian kulihat beliau berlinang air mata. ‘Apa isi surat itu wahai Abu Abdillah?’ tanyaku. ‘Isinya menceritakan bahwa Imam Syafii bermimpi Rasulullah SAW bersabda: ‘Tulislah surat kepada Ahmad bin Hanbal dan sampaikan salamku kepadanya. Khabarkan kepadanya bahawa dia akan mendapatkan ujian iaitu dipaksa mengakui bahawa al- Quran itu adalah makhluk maka janganlah turuti mereka, Allah akan meninggikan ilmu bagimu hingga hari kiamat.’ Ar Rabi’ berkata: ‘Ini khabar gembira.’ Lalu beliau melepaskan baju yang melekat di kulitnya, dia memberikan kepadaku dan aku mengambilnya dan membawanya ke Mesir berserta jawapan suratnya. Aku menyerahkannya kepada Imam as-Syafii.
Beliau bertanya: ‘Wahai Ar Rabi’ apa yang diberikan Ahmad padamu?’ Aku menjawab: ‘Baju yang melekat dengan kulit beliau.’ Imam As-Syafii berkata: ‘Kami tidak akan merisaukanmu, tapi basahi baju ini dengan air, lalu berikan kepadaku air itu untuk bertabarruk dengannya.”‘ (Imam Ibnu ‘Asakir, Mukhtashar Tarikh Dimasqa, 1/400)
Ini menunjukkan ulama besar bertaraf mujtahid mutlak juga melakukan tabarruk dengan orang solehin. Ia bukan syirik seperi kefahaman golongan literalisme yang mudah menuduh syirik kepada mereka yang bertabarruk dengan menziarah makam seseorang yang mempunyai karamah.
Kalau tabarruk itu syirik dan haram, kenapa Nabi Muhammad SAW sendiri yang memberikan rambut baginda kepada sahabat untuk diambil keberkatan? Sedangkan rambut adalah makhluk, tetapi ia dilakukan oleh baginda SAW.
Malah terdapat dukungan dalam Surah al-Baqarah ayat 248, yang menyebutkan keberkatan pada sesuatu benda. Benda tersebut berupa tabut (peti) yang berisi sisa-sisa peninggalan keluarga Nabi Musa dan Harun yang dijaga oleh Bani Israil serta menjadi sumber keberkahan bagi mereka. Mereka mendapatkan keberkatan dengan bertabarruk dengan kotak peti (tabut) itu.
Demikian dengan pasir tanah perkuburan. Tabarruk dengan pasir yang bersentuhan dengan tempat bersejarah atau makam orang soleh diperbolehkan, selama tidak ada unsur kesyirikan. Ini didasarkan pada pemahaman bahawa keberkatan boleh terdapat pada benda yang bersentuhan dengan orang soleh atau tempat bersejarah seperti dijelaskan dalam beberapa kitab fiqh.
Sesungguhnya tabarruk bukan syirik, malah ia sunah kerana keberkatan itu ada dan wujud pada bekas anbia, aulia, ulama dan solehin.
