Prof Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim
Islam adalah agama yang sangat prihatin terhadap akidah, syariat dan akhlak. Atas dasar itu, Nabi SAW diutuskan untuk menjadi contoh kepada umat Islam. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak.” (Ahmad dengan sanad hasan)
Pelbagai cara dan teknik digunakan oleh baginda untuk mengajak manusia ke arah kebaikan pada ketika itu syirik berleluasa. Antaranya usaha baginda membina Masjid Quba’ dan Masjid Nabawi setelah berhijrah ke Madinah. Hasil daripada usaha tersebut, Nabi SAW berjaya mendidik bangsa Arab dari pelbagai lapisan masyarakat supaya meninggalkan segala larangan Allah SWT seperti syirik, arak, judi, riba, khurafat dan sebagainya. Semua ini rentetan daripada institusi masjid yang dimulakan baginda SAW. Semua usaha baginda itu bertepatan dengan kehendak Allah seperti firman-Nya dalam surah al-Taubah ayat 18 yang bermaksud: “Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi golongan yang mendapat petunjuk.”
Menurut al-Qurtubi, banyak perkara yang boleh dilakukan dalam institusi masjid. Menerusi pengimarahan masjid daripada semua pihak juga akan dapat melahirkan generasi yang berakhlak. Pada masa sama, usaha ini dapat mengurangkan masalah-masalah sosial yang semakin meruncing dan membimbangkan. Oleh itu, ahli jawatankuasa masjid perlu sentiasa melakukan kajian bagi memastikan objektif utama masjid tercapai dengan jayanya. Bagi membantu usaha ini berjalan dengan baik, maka terdapat beberapa perkara yang perlu diambil perhatian oleh semua pentadbir masjid sebagai merealisasikan matlamat yang diinginkan Islam. Ia adalah seperti berikut:
Pertama: Melantik AJK yang istiqamah dengan masjid
Mentadbir sebuah masjid fokus dan istiqamah sangat penting. Sekiranya AJK masjid hanya datang seminggu sekali atau sebulan sekali, ia akan menyebabkan banyak kerja tergendala sekali gus membebankan orang lain untuk memikul beban tugas yang sepatutnya dia galas. Perkara ini secara tidak langsung akan menyebabkan rakan-rakan AJK yang lain turut mencuri tulang dan akhirnya memberi impak negatif kepada organisasi masjid. Sekiranya hal ini berlaku, maka kesannya akan dirasai oleh para jemaah yang hadir ke masjid dan tidak mustahil ia turut menyumbang untuk mereka tidak berminat lagi hadir ke masjid khususnya golongan muda. Sabda Nabi SAW: “Tiga tanda-tanda orang munafik, sekiranya dia bercakap dia akan menipu, sekiranya dia berjanji dia memungkirinya dan sekiranya dia diberi amanah dia khianatinya.” Menjaga masjid Adalah Amanah Allah yang besar untuk dipikul.
Kedua: Bijak mengurus kewangan masjid
Duit yang terkumpul dalam akaun masjid adalah hasil daripada kutipan dan sedekah orang ramai. Justeru, semua duit itu perlu diselenggara dengan betul, berhemah dan cermat. Terdapat sesetengah AJK masjid terlalu ghairah mencantikkan dekorasi dalaman masjid sehingga lupa objektif utama penubuhan masjid di kawasan itu. Sepatutnya AJK masjid perlu peka terhadap prioriti. Dahulukan yang mana lebih utama untuk para jemaah. Tidak dinafikan keselesaan juga amat penting, namun jangan sampai membazir dengan barangan tidak berfaedah. Perkara yang penting ialah pengisian seperti menggajikan bilal dan imam yang bersuara lunak, program yang berimpak untuk masyarakat. Masjid atau surau tidak perlu terlalu besar sehingga membebankan tetapi pengimarahan dan kuantiti Jemaah itu yang perlu dipentingkan.
Ketiga: Perkasa kelas-kelas agama
Kuliah agama yang terarah dan teratur mampu menyebabkan sesebuah masjid itu hidup dengan majlis ilmu yang bermanfaat. Tidak dinafikan juga bahawa pengaruh ustaz yang berkaliber turut menjadi faktor utama penarik minat orang ramai untuk datang ke masjid. Sehubungan dengan itu, AJK masjid perlu kreatif dalam mencari penceramah atau ustaz yang bakal mengajar di masjid atau surau tersebut. Lebih baik lagi sekiranya ustaz yang dibawa masuk untuk memberi kuliah di masjid itu menepati kriteria-kriteria berikut:
i. Benar-benar layak untuk memberi kuliah berasaskan tauliah yang dimiliki.
ii. Memberi ceramah atau kuliah dalam bidang pengkhususannya seperti akidah, fiqah, tafsir, qiraat dan seumpamanya.
iii. Tidak memaki hamun orang lain.
iv. Berfakta yang tepat.
v. Bercakap benar.
vi. Bukan jenis memperkecilkan pendapat ustaz lain.
vii. Bukan jenis memecah belahkan umat Islam dalam isu temeh remeh.
Selain itu, adalah sangat menarik apabila setiap kuliah agama yang disampaikan itu dipandu oleh buku yang muktabar dan disahkan tidak menyeleweng daripada akidah dan syariat Islam. Dengan adanya buku-buku seperti ini, minat masyarakat Islam untuk menghadiri kuliah agama akan dirangsang. Ini kerana, para jemaah meyakini bahawa masa yang diambil oleh ustaz dalam kuliahnya itu tidak akan disia-siakan dengan cerita-cerita yang tidak berasas tetapi semuanya terarah seperti yang termaktub di dalam buku di hadapannya.
Keempat: Mesra jemaah
Mesra jemaah yang dimaksudkan ini ialah persekitaran yang kondusif dan sesuai untuk semua lapisan masyarakat. Telah menjadi fitrah manusia suka kepada suasana yang selesa dan tidak menyukarkan. Antara keperluan yang perlu dipenuhi ialah:
i. Tandas yang selesa, bersih dan mesra pengguna termasuklah untuk OKU.
ii. Tempat singgahan anak-anak jemaah yang selamat.
iii. Kios makanan dan keperluan yang boleh dikunjungi oleh para jemaah sebagai one stop center.
Kesemua usaha-usaha tersebut baik untuk diperhalusi selain ia tidak bercanggah dengan syariat Islam. Selain itu, mereka yang melakukannya juga akan mendapat pahala yang sangat besar di sisi Allah SWT kerana berusaha menarik minat umat Islam untuk datang ke masjid. Justeru, marilah kita sama-sama berusaha mencari solusi yang terbaik untuk menjadikan masjid sebagai rumah
