Dr Mohd Shukri Hanapi
Tidak dinafikan wujud sebahagian manusia yang berasakan kematian pengakhiran sebuah kehidupan, terhentinya perjalanan seorang manusia, tidak ada kehidupan dan perjalanan lagi selepas itu, dan tiada juga kebangkitan. Bagi mereka kematian adalah sebuah kehancuran.
Allah SWT menjelaskan kehidupan dunia ini adalah sebagai tempat untuk semua manusia (khususnya yang beragama Islam) mencari bekalan untuk alam selepas kematian. Jelaslah kehidupan dunia bukanlah alam kenikmatan. Kenikmatannya terlalu sedikit dan kecil, kehidupan selepas kematian itulah yang kekal. Oleh yang demikian Allah SWT mengingatkan manusia daripada terus tenggelam dalam arus kehidupan yang tidak mengenal kematian.
Allah SWT berfirman bermaksud: “Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama oleh al-Quran tentang sah batalnya), maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan sedikit pun padanya. Merekalah orang yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain daripada azab neraka, dan pada hari itu gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batalah apa yang mereka telah kerjakan.” (Surah Hud ayat 15-16)
Kematian daripada perspektif Islam ialah suatu proses perpindahan dari alam dunia ke alam barzakh, tempat penantian untuk sampai ke alam akhirat. Ia sebenarnya bukanlah pengakhiran kerana mati adalah permulaan kehidupan yang tidak akan ‘mati-mati’ di akhirat kelak.
Kematian juga adalah perpindahan dari alam taklif (tanggungjawab) dan amal kepada alam ganjaran dan balasan akhirat. Sesiapa melaksanakan kebaikan walau sebesar zarah akan mendapat balasannya dan sebaliknya.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya). Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).” (Surah al-Zalzalah ayat 7-8)
Ibnu Qayyim berkata: “Allah menjadikan pusingan alam ini sebanyak tiga pusingan iaitu alam dunia, alam barzakh dan alam akhirat yang kekal abadi. Pada setiap alam ini ada hukumnya yang tersendiri.”
Jadi kematian itu ialah perpindahan dari satu tahap kepada satu tahap yang lain, dari satu kehidupan kepada satu kehidupan yang lain. Mukmin yang yakin dan beriman memahaminya, dan mereka akan bersungguh-sungguh mempelajari ayat al-Quran dan hadis yang memuatkan penjelasan supaya mereka bersedia untuk menghadapi saat tersebut dan beramal untuk kehidupan yang kekal selepas kematian tersebut.
Dalam membincangkan tentang kematian dan kehidupan selepasnya, Islam mempunyai keistimewaannya yang tersendiri berbeza dengan agama dan anutan yang lain. Islam menceritakan setiap peristiwa kematian dan alam yang selepasnya itu secara terperinci berbeza dengan agama lain. Setiap satu diperjelaskan dan juga hukum setiap alam yang bakal dilalui oleh semua manusia. Seseorang Muslim itu amat jelas tentang kehidupan akhirat sekiranya ia jelas tentang matlamat hidupnya di dunia.
Maka yang dimaksudkan dengan memikirkan tentang kematian termasuklah kita memikirkan tentang kesakitan dan kepedihan sakaratul maut, kesusahan menghadapinya, dosa dan pahala, amalan yang telah dilakukan, kedahsyatan alam kubur, kebangkitan dan hisaban amalan, titian dan timbangan, syurga dan neraka, dan pengakhiran diri manusia itu sendiri.
Ramai Muslim hari ini tidaklah menghiraukan tentang urusan mengingati mati ini. Lebih parah lagi apabila lahir suasana tidak mahu lagi mempelajari tentang kematian, hakikatnya dan aspek lain yang berkaitan dengannya. Bahkan ada dalam kalangan umat Islam yang berasa takut untuk membicarakannya.
Akibat daripada persepsi tersebut, timbul sifat ketakutan dan salah faham terhadap konsep kematian. Kesannya akan membawa mereka kepada kejahilan dan berpandangan negatif mengenainya. Kadangkala ia boleh membawa sehingga mereka berusaha untuk melupakan perkataan ‘kematian’ daripada kamus hidup mereka. Lantas mereka berasa bebas untuk melaksanakan apa sahaja di atas muka bumi ini, bebas untuk tidak melaksanakan perintah-perintah Allah, dan bebas melanggari segala larangan Allah.
Pada hakikatnya, tidak ada seorang pun dalam kalangan manusia yang dapat lari daripada kematian pada saat ajalnya telah tiba.
Akibat daripada menjadikan dunia sebesar-sebesar tempat mereka mencurahkan perhatian, kita dapat melihat begitu ramai manusia menghabiskan setiap waktu mereka, tenaga yang ada, dan pemikiran mereka untuk urusan dunia.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Jangan sekali-kali bersikap demikian. (Sebenarnya) apabila bumi (dihancurkan segala yang ada di atasnya dan) diratakan serata-ratanya; Dan (perintah) Tuhanmu pun datang, sedang malaikat berbaris-baris (siap sedia menjalankan perintah), serta diperlihatkan neraka Jahanam pada hari itu, (maka) pada saat itu manusia akan ingat (hendak berlaku baik), dan bagaimana ingatan itu akan berguna lagi kepadanya? Ia akan berkata: “Alangkah baiknya kalau aku dahulu sediakan amal-amal baik untuk hidupku (di sini).” Maka pada hari itu tiada sesiapa pun yang dapat menyeksa seperti azab (yang ditimpakan oleh) Allah; Dan tiada sesiapa pun yang dapat mengikat serta membelenggu seperti ikatan dan belenggu-Nya.” (Surah al-Fajr ayat 21-26)
Almarhum al-Ustaz Mustafa Masyur dalam bukunya Fiqh al-Dakwah menyebut contoh beberapa perkara yang akan berlaku dalam kehidupan andaikata kematian tidak diingati dalam kehidupan. Antara aspek yang disebut ialah seperti manusia akan bebas dalam memenuhi syahwatnya, merasakan kebahagiaan rumahtangga itu terletak pada kebendaan, hanya menitik beratkan kesihatan badan, tetapi mengabaikan hati yang sakit, mengutamakan keperluan jasad berbanding keperluan roh, sikap pentingkan diri sendiri, bakhil, amat tamakkan ganjaran dunia, berlumba-lumba dalam kebendaan, bertabarruj, melakukan kezaliman dan sebagainya.
Islam memberikan nilaian yang lain dan cukup jelas mengenai kematian. Nilaian yang diberikan oleh Islam ini lebih istimewa daripada nilaian yang difikirkan oleh manusia. Hal ini kerana secara nilaian nafsu, manusia tidak akan suka membicarakan tentang kematian, kerana ia disifatkan sebagai menakutkan, dan mengganggu kedamaian jiwa. Nafsu akan berusaha menarik manusia takut kepada kematian dan suka kepada kehidupan. Jadi, dengan bimbingan nafsu, hati manusia itu akan sentiasa tertarik kepada dua perkara iaitu, kehidupan dan harta.
Akibat yang pasti berlaku apabila manusia tidak mahu mengingati kematian, maka Allah mencabut ketakutan dari dalam jiwa musuh Islam terhadap orang Islam. Hal ini jelas disebutkan dalam hadis Rasulullah SAW bermaksud: “Allah mencabut dari dalam hati musuh rasa kehebatan Islam, lalu Allah akan jadikan bagi kamu satu penyakit wahan”. Sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW, ‘Apakah wahan itu Ya Rasulullah?’ Nabi bersabda: ‘Cinta kepada dunia dan benci kepada kematian.’” (Hadis Riwayat Muslim)
Manusia yang hatinya tidak melalui pendidikan akidah dan keimanan, mereka tidak akan suka mendengar perbicaraan tentang kematian. Sehingga boleh dikatakan orang yang dalam keadaan nazak sekalipun tidak akan suka mendengar tentang kematian. Hal ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja daripada kalangan umat Islam.
Sebenarnya, anjuran supaya banyak mengingati mati bukan bertujuan melemahkan umat serta meninggalkan terus urusan keduniaan. Begitu juga galakan supaya mengingati mati bukan bertujuan menyaran umat supaya minta cepat mati. Islam tidak menyuruh umatnya bercita-cita supaya cepat mati, malah perbuatan sedemikian sangat dilarang.
Sebaliknya, memikirkan kematian mendorong setiap Muslim ada wawasan hidup dunia dan akhirat yang jelas, semangat kuat dan beristiqamah menelusuri perjalanan hidup penuh pancaroba dengan sentiasa bergantung harap kepada Allah SWT.
